Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Hujan lebat cetus bencana maut di Brazil

    BRAZIL – Beratus-ratus penduduk di wilayah yang dilanda hujan di negeri Sao Paulo, Brazil berebut-rebut mencari air dan bekalan harian kelmarin selepas banjir dan tanah runtuh memusnahkan komuniti mereka dan menyebabkan sekurang-kurangnya 48 orang terkorban.

    Kumpulan bantuan kerajaan dan swasta cuba menyediakan keperluan, dengan logistik menimbulkan kesukaran untuk sampai ke bandar terpencil. Pihak berkuasa berkata mereka telah membuka semula beberapa jalan raya yang rosak ke wilayah itu, namun pemulihan itu akan mengambil masa.

    Operasi menyelamat diteruskan dan anggota bomba, polis dan sukarelawan masih berharap untuk mencari mangsa yang masih hidup di dalam runtuhan rumah akibat ​​tanah runtuh. Kira-kira 1,810 mangsa kehilangan tempat tinggal, menurut kerajaan negeri Sao Paulo.

    Mangsa-mangsa sedang berteduh di sekolah, tadika dan gereja di Sao Sebastiao. Kira-kira 7.5 tan barangan bantuan termasuk makanan, air dan kit kebersihan telah diagihkan kepada mangsa, menurut kerajaan negeri Sao Paulo.

    Tetapi tidak semua bantuan telah sampai ke destinasi yang dimaksudkan, dengan penjenayah mengambil kesempatan daripada kekacauan dan menjarah trak yang membawa sumbangan, kata Gabenor negeri Sao Paulo, Tarcisio de Freitas kepada saluran berita G1.

    Gabenor Sao Paulo, Tarcisio de Freitas menyabarkan Josimeire Almeida yang kehilangan rakan dalam tanah runtuh akibat hujan lebat berhampiran pantai Barra do Sahy di bandar pantai Sao Sebastiao, Brazil. – AP
    Patung kanak-kanak ditemui di dalam lumpur tempat pekerja penyelamat mencari mayat selepas tanah runtuh dicetuskan oleh hujan lebat berhampiran pantai Barra do Sahy di bandar pantai Sao Sebastiao, Brazil. – AP
    Pekerja penyelamat mencari mayat selepas tanah runtuh berhampiran pantai Barra do Sahy di bandar pantai Sao Sebastiao, Brazil. – AP
    Sukarelawan memunggah bantuan makanan di pantai Barra do Sahy selepas tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan lebat di bandar pantai Sao Sebastiao, Brazil. – AP
    Pelancong meninggalkan pantai Barra do Sahy dengan bot selepas tanah runtuh yang membawa maut menyekat jalan raya, selepas hujan lebat di bandar pesisir pantai Sao Sebastiao, Brazil. – AP

    Menteri Alam Sekitar Brazil, Marina Silva melawat Barra do Sahy kelmarin. Penduduk, Reuri Nascimento, 33, memberitahu Silva, dia mengeluarkan 22 mayat menggunakan quadbike miliknya.

    Dia mengadu bahawa mangsa banjir dan tanah runtuh telah ditinggalkan dan berkata bekalan tidak sampai kepada mereka.

    “Mengapa polis tidak di sini untuk membantu kami? Ada pengedaran makanan, kita tidak tahu ke mana perginya makanan itu,” katanya.

    Silva berkata kerajaan Presiden, Luiz Inácio Lula da Silva sedang berusaha untuk memperbaiki keadaan. “Kami perlu bekerja untuk menyesuaikan bandar, memberi tumpuan kepada golongan miskin yang tinggal berhampiran lereng bukit,” kata Silva.

    Berpuluh-puluh masih hilang, antaranya ialah anak perempuan dan menantu Antonio Muniz berusia 22 tahun. Baru sahaja berkahwin, anak perempuan Muniz tinggal di sebuah rumah sewa di Barra do Sahy, sebuah daerah perbandaran pantai pergunungan Sao Sebastiao yang paling teruk dilanda bencana.

    Muniz sedang menggali lumpur kelmarin di mana rumah anak perempuannya, yang dilanda banjir lumpur, pernah berada. “Kami meminta pertolongan Tuhan, sekurang-kurangnya untuk mencari mayatnya,” katanya.

    Perbandaran Sao Sebastiao berkata 26 mayat telah dikenal pasti, di mana tujuh adalah kanak-kanak.

    Terkenal dengan pusat peranginan pantai dan diapit oleh pergunungan, kawasan yang terjejas merupakan destinasi karnival yang kerap diadakan untuk penduduk kota kaya yang lebih suka menjauhi pesta jalanan besar-besaran di kampung halaman mereka.

    Dengan bekalan semakin berkurangan, ketegangan telah timbul antara pelancong kaya dan penduduk tetap yang miskin.

    Cida Fonseca, wanita berusia 47 tahun yang menjual pastri masin di pantai di Barra do Sahy berkata, ketika anak perempuannya pergi ke kedai untuk membeli telur, dia hanya menemui air.

    “Mereka membeli segala-galanya. Daripada mengambilnya, mereka sepatutnya pergi,” katanya.

    Fonseca telah kehilangan rakan dan jiran, manakala rumahnya dinaiki air tetapi tidak musnah. Untuk air minuman, dia bergantung pada sebuah institusi kecil yang menganjurkan sumbangan dan berfungsi sebagai pangkalan untuk mangsa-mangsa kehilangan rumah.

    Lula baru-baru ini telah melawat wilayah tersebut dan menyeru orang yang tinggal di kawasan lereng bukit untuk dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.

    Tetapi beberapa penduduk yang meninggalkan rumah mereka kemudian mendapati bahawa ia telah dirosakkan, kata Gobenor de Freitas. Akibatnya, ada yang pulang ke rumah mereka yang terletak di kawasan berisiko dan enggan keluar, tambahnya.

    Dalam pada itu, mahkamah tempatan kelmarin memberikan kebenaran kepada negeri Sao Paulo dan perbandaran Sao Sebastiao untuk memaksa penduduk dari kawasan berisiko yang enggan berpindah, sebagai pilihan terakhir dengan pemindahan paksa, kata kerajaan negeri Sao Paulo.

    Seorang wartawan Associated Press telah diberitahu bahawa oportunis dari luar telah memasuki kawasan itu dengan bot, mengenakan bayaran kepada pelancong yang terkandas sehingga 300 reais (hampir AS$60) untuk membuat perjalanan singkat antara Barra do Sahy dan Juquehy yang berdekatan.

    Tetapi nelayan, Edmilson Germano telah membuat perjalanan yang sama secara percuma.

    Dia membuat 30 perjalanan pada Selasa, membawa orang pergi dari Barra da Sahy ke Juquehy dan pulang dengan makanan.

    “Kami melakukan apa yang kami mampu untuk membantu orang ramai,” kata lelaki
    berusia 49 tahun itu. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...