Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hujan lebat cetus tanah runtuh di Norway

    DENMARK, 9 OGOS – Hujan lebat selama beberapa hari telah mencetuskan tanah runtuh dan banjir di pergunungan selatan Norway, di mana pihak berkuasa berkata hari ini mereka sedang mempertimbangkan untuk meletupkan empangan yang berisiko pecah untuk mengelakkan komuniti kawasan hulu daripada dilanda banjir.

    Polis berkata letupan terkawal sebelum empangan pecah akan membolehkan pegawai mengawal aliran air.

    “Apabila terdapat begitu banyak air, kita mungkin dapat membayangkan dalam senario paling teruk, sejenis gelombang air pasang yang datang mengalir ke sungai,” kata jurucakap polis, Merete Hjerto kepada penyiar Norway NRK.

    Polis di selatan Norway berkata lebih 600 orang telah dipindahkan di wilayah utara Oslo semalaman dan berkata keadaan di sana tidak jelas dan kelam-kabut.

    Pentadbiran Jalan Awam Norway berkata hari ini bahawa semua jalan utama antara Oslo dan Trondheim, bandar ketiga terbesar di Norway, ditutup.

    “Kami berada dalam keadaan krisis yang melibatkan dimensi nasional,” kata Datuk Bandar Innlandet, Aud Hove.

    “Orang ramai terpisah di beberapa komuniti tempatan dan perkhidmatan kecemasan tidak dapat menghubungi orang yang memerlukan bantuan.”

    Hujan lebat lebih teruk dijangka berlaku di selatan Norway dan tengah Sweden.

    Ribut Hans telah melanda bahagian Scandinavia dan Baltik selama beberapa hari, menyebabkan sungai melimpah, merosakkan jalan dan mencederakan orang ramai dengan pokok yang tumbang.

    Di Sweden dan Norway, bangsal, rumah-rumah kecil dan rumah mudah alih terapung di sungai atau dihanyutkan oleh arus laut yang kuat. – AP

    Seorang pekerja penyelamat memanjat batang pokok selepas banjir lumpur melanda beberapa bangunan kediaman di Bagn di Valdres, Norway, 8 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda