NEW DELHI 17 OGOS – Hujan berterusan berhari-hari di wilayah Himalaya India telah mengorbankan sekurang-kurangnya 72 orang minggu ini, kata seorang pegawai kerajaan pada Khamis, ketika monsun lebat mencetuskan tanah runtuh dan banjir kilat yang menenggelamkan jalan raya, menghanyutkan bangunan dan menyebabkan penduduk berebut untuk menyelamatkan diri.
Pasukan penyelamat di negeri pergunungan Himachal Pradesh telah berusaha melalui keadaan cuaca yang mencabar untuk menyelamatkan orang yang terperangkap di bawah lumpur dan serpihan daripada hujan yang melanda pada hujung minggu. Jabatan cuaca India telah meletakkan negeri itu dalam keadaan berjaga-jaga dan menjangkakan hujan lebat akan berterusan dalam beberapa hari akan datang.
Vikram Singh, pengendali di pusat operasi kecemasan negeri itu, berkata pada hari ini bahawa 72 kematian berlaku dalam tempoh lima hari kebelakangan dan kerja menyelamat sedang dijalankan.
Beratus-ratus jalan masih terhalang dan sekolah-sekolah di ibu kota Shimla telah diarah tutup sementara Tentera Udara India dan pasukan tindak balas bencana membantu memindahkan orang ramai dari kawasan rendah dan terdedah.
Ketua menteri negeri, Sukhvinder Singh Sukhu, berkata lebih 2,000 orang telah diselamatkan menggunakan helikopter dan bot bermotor dan kini selamat di kem bantuan.
Visual di media sosial menunjukkan pokok tumbang sementara rumah yang dibina di atas bukit, runtuh berturut-turut. Di latar belakang, orang ramai boleh didengari menangis ketakutan, sambil menjerit.
Di Shimla, sebuah kuil Hindu runtuh pada hari Isnin lalu di tengah-tengah tanah runtuh yang membawa maut, dan pihak berkuasa bimbang orang ramai masih tertimbus di bawah runtuhan. Pihak berkuasa berkata kuil itu penuh sesak dengan penganut, menimbulkan kebimbangan bahawa jumlah kematian boleh meningkat apabila kerja menyelamat diteruskan.
Kediaman di beberapa daerah turut dihanyutkan selepas semburan awan (cloudburst) iaitu hujan yang tiba-tiba dan sangat lebat, pada malam Ahad, menyebabkan jalan raya ditenggelami air dan orang ramai terkandas. – AP