Hujan lebat di Guatemala ragut 15 jiwa

BANDARAYA GUATEMALA, 14 JUN – Sekurang-kurangnya 15 orang dilaporkan maut dalam puluhan tanah runtuh akibat hujan lebat yang turun sejak awal Mei di Guatemala, di mana lebih 500,000 orang turut terjejas, menurut kenyataan pegawai kelmarin.

Antara 15 maut ialah seorang wanita dengan enam orang anaknya serta tiga orang adik-beradik yang kesemuanya di bawah umur dari dua buah kampung orang asli, kata pejabat Koordinasi Pengurangan Bencana Alam (Conred).

Hujan yang disertai angin kencang menyebabkan tanah runtuh, banjir dan keruntuhan infrastruktur merentasi kawasan besar negara Amerika Tengah itu.

Conred berkata, sebanyak 930 buah rumah, lapan buah sekolah, tujuh buah jambatan dan lebih 80 buah jalan raya telah mengalami kerosakan.

Sementara itu, kawasan yang terjejas ialah kawasan yang kebanyakannya didiami oleh penduduk asli, yang komunitinya paling terdedah kepada bencana alam.

Hampir 60 peratus daripada 17 juta orang penduduk Guatemala hidup dalam kemiskinan. Hujan pada tahun lalu juga dilaporkan telah menyebabkan kematian seramai 35 orang dan menjejaskan hampir satu daripada 10 orang rakyat Guatemala. – AFP