Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hujan lebat dijangka beralih

    KUALA LUMPUR, 20 DIS – Keadaan hujan lebat yang melanda Kelantan dan Terengganu, diramal beralih ke Pahang, Johor dan juga ke kawasan barat Sarawak.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata data terkini diperoleh daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menyatakan luruan kedua Monsun Timur Laut 2022/2023 yang sebelum ini bermula pada 17 hingga 21 Disember, akan berlarutan sehingga 25 Disember.

    “Sehubungan itu, kerajaan telah meminta supaya jawatankuasa pengurusan bencana negeri (JBPN) dan daerah-daerah khususnya di kawasan hotspot bagi ketiga-tiga negeri ini, meningkatkan tahap kesiapsiagaan mereka,” katanya selepas sesi Penyerahan Sumbangan Felda Global Ventures (FGV) kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (TBBN).

    Replika cek bantuan RM5 juta itu disampaikan oleh Pengerusi FGV Datuk Zulkifli Wahab kepada Armizan di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.

    Pada masa sama, JBPN turut diminta berhati-hati dengan kesan pascahujan iaitu keadaan pergerakan tanah yang boleh membawa risiko tanah runtuh, khususnya di kawasan berdekatan lerengan bukit pada kadar 25 darjah. 

    Mengulas tentang keadaan banjir yang melanda negara ketika ini, beliau berkata ia masih pada tahap dua dan dalam keadaan terkawal dengan kawal selia masih di peringkat jawatankuasa pengurusan bencana negeri masing-masing.

    Katanya, sehingga 2 petang tadi, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 67,214 mangsa daripada 18,450 keluarga yang ditempatkan di 469 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan 20 daerah di lima buah negeri.

    Armizan berkata secara kumulatif, sejak MTL melanda negara pada awal November, sejumlah 25,635 keluarga ditempatkan di PPS melibatkan 92,157 mangsa di 11 negeri. – Bernama

    Penduduk kampung Pasir Mas, Kelantan, Malaysia, Mazlan Yacob, 60, menyusun ikan sungai yang berjaya ditangkapnya menggunakan kaedah pukat tangkul ketika banjir yang berlaku di Kampung Baru Bukit Tungku Pasir Mas pada 20 Disember. Ikan seperti patin, lampam, keli dan baung dijual di bahu jalan dengan harga antara RM5 hingga RM20 sekilogram. Limpahan air dari Sungai Golok menyebabkan banyak ikan tersesat di kawasan sekitar kampung dan ia memberi rezeki tambahan di sebalik bencana yang berlaku.
    Penduduk kampung menaiki bot bagi meredah banjir untuk melihat rumahnya yang dinaiki air berikutan hujan lebat di Kuala Berang, kelmarin. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda