JAKARTA, 29 FEB – Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia hari ini mengeluarkan amaran kemungkinan hujan lebat di seluruh ibu kota Jakarta dan bandar sekitarnya untuk lapan hari akan datang.
Timbalan ketua meteorologi BMKG, Guswanto, dalam satu kenyataan berkata hujan lebat dan angin kencang berkemungkinan melanda Jakarta dan sekitarnya, termasuk Bogor, Depok dan Bekasi, antara 1 Mac hingga 8 Mac.
Dia berkata peningkatan hujan di Jakarta, yang mempunyai kira-kira 10 juta penduduk, telah direkodkan sejak Selasa lalu di mana hujan dengan intensiti tinggi berlaku di kawasan utara bandar itu, seperti Kelapa Gading dan Tanjung Priok.
“BMKG akan terus memantau keadaan cuaca dan perubahan berdasarkan data terkini,” kata Guswanto dan menyeru orang ramai sentiasa berwaspada.
Sekurang-kurangnya 34 jalan di Jakarta ditenggelami banjir akibat hujan lebat hari ini, menyebabkan gangguan lalu lintas dan pemindahan penduduk di beberapa kawasan di bandar itu, menurut Agensi Mitigasi Bencana Jakarta.
Agensi itu juga melaporkan kedalaman air banjir antara 15 sentimeter (cm) hingga lebih 50cm. – Xinhua