COPENHAGEN, 22 JULAI – Kawasan tenggara Denmark telah mencatatkan jumlah taburan hujan yang melebihi sepertiga daripada purata keseluruhan bagi bulan Julai dalam tempoh satu hari sahaja, menurut Institut Meteorologi Denmark (DMI), hari ini.
Kelmarin, agensi tersebut mengeluarkan amaran merah pertamanya untuk hujan yang disifatkan sebagai ‘sangat berbahaya’ di kawasan berkenaan.
DMI telah memberi amaran sejak beberapa tahun lalu bahawa perubahan iklim sedang meningkatkan kejadian hujan lebat secara mendadak di negara Scandinavia
itu. Namun, tiada kejadian banjir atau kerosakan besar dilaporkan setakat ini.
Beberapa perkampungan di tenggara Denmark mencatatkan lebih 90 milimeter (mm) hujan dalam 24 jam, iaitu peningkatan lebih 36 peratus berbanding purata hujan sepanjang bulan Julai yang biasanya sekitar 66mm, menurut DMI.
“Ini merupakan kali pertama kami mengeluarkan amaran jenis ini sejak kami mula mengeluarkan amaran pada 2000,” kata ahli meteorologi DMI, Henning Gissello kepada AFP.
Amaran merah berkenaan meliputi tempoh dari petang kelmarin hingga malam ini bagi kawasan tenggara negara itu.
Gissello berkata langkah memberi amaran lebih awal kepada pihak berkuasa telah membantu mereka mengambil tindakan dan mengelakkan kerosakan besar. – AFP


