SEOUL, 14 OGOS – Hujan lebat berterusan di kawasan ibu negara Korea Selatan untuk hari kedua hari ini mengorbankan seorang penduduk, merosakkan ratusan rumah dan jalan raya, serta memaksa lebih 1,000 orang dipindahkan.
Menurut Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan, hujan antara 250 hingga 300 milimeter direkodkan di Seoul, Paju, Incheon dan Gimpo sehingga pagi ini, menyebabkan banjir kilat yang menenggelamkan kenderaan serta memusnahkan harta benda.
Pihak berkuasa mengeluarkan amaran banjir dan tanah runtuh di kawasan berhampiran sungai, anak sungai dan lereng bukit, manakala pasukan penyelamat mengeluarkan sekurang-kurangnya 145 mangsa terperangkap dan menangani ratusan laporan gangguan jalan.

Bekalan elektrik yang terputus kira-kira 4,000 rumah pada waktu malam telah dipulihkan awal pagi tadi. Beberapa taman tepi sungai dan lebih 100 laluan mendaki turut ditutup, namun operasi penerbangan tidak terjejas.
Perkhidmatan kaji cuaca memaklumkan hujan lebat dijangka berterusan di kawasan ibu negara sehingga pagi ini, dengan amaran agar orang ramai berwaspada terhadap banjir, tanah runtuh dan struktur yang rosak. – AP

