Hujan lebat: Lebih 2,000 penduduk Sibu terputus hubungan

SIBU, 27 APRIL – Skim Penempatan Semula Nanga Jagau di pedalaman daerah Kanowit yang menempatkan 21 buah rumah panjang dan diduduki 2,020 penduduk dekat sini, terputus hubungan apabila jalan ke kawasan tersebut runtuh berikutan hujan lebat malam tadi.

Ketua masyarakat bagi kawasan Sungai Ngemah Hulu Penghulu Juni Massam berkata jalan tanah berbatu di Nanga Belasang, 300 meter dari penempatan itu runtuh apabila sebuah pembentung rosak kerana tidak mampu lagi mengalirkan jumlah air yang banyak.

“Hujan lebat sejak beberapa hari lalu di hulu sungai ini turut menyebabkan sebuah sekolah, SK (Sekolah Kebangsaan) Nanga Jagau dilanda banjir setinggi 0.76 meter,” katanya ketika dihubungi hari ini. – Bernama