NEW DELHI, 9 JULAI – Sekolah dan institusi pendidikan lain di ibu kota kewangan India, Mumbai dan kawasan sekitarnya, ditutup, dan peperiksaan universiti ditangguhkan hari ini berikutan hujan lebat sejak 20 jam terakhir yang menjejaskan kehidupan normal.
Perkhidmatan kereta api dan penerbangan juga terjejas teruk. Banjir yang teruk dilihat di pelbagai kawasan, selepas bandar itu mencatatkan hujan lebih 300mm di pelbagai tempat dalam tempoh enam jam bermula jam 1 tengah hari pada Isnin.
Semua peperiksaan yang dijadualkan pada Selasa di Universiti Mumbai telah ditangguhkan. ‘Tarikh baharu akan diumumkan tidak lama lagi’, kata universiti itu dalam satu kenyataan.
Bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang ramai, Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan telah dikerahkan di beberapa kawasan di Mumbai dan kawasan sekitarnya, termasuk Thane, Vasai, Mahad, Chiplun, Kolhapur, Sangli, Satara Ghatkopar, Kurla dan Sindhudurg. Penduduk yang terperangkap di kawasan rendah telah dipindahkan ke tempat yang lebih selamat.
Dalam ramalan cuaca, Jabatan Meteorologi India menyatakan bahawa hujan lebat akan berterusan di Mumbai dan bahagian lain di negeri Maharashtra untuk beberapa hari akan datang. – Xinhua


