Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hujan lebat ragut 11 nyawa

    RIO DE JANEIRO, 15 JAN – Hujan lebat yang mengubah jalan raya menjadi sungai telah mengorbankan kira-kira 11 orang di Rio de Janeiro, kata jabatan bomba kepada AFP kelmarin.

    Hujan ribut menjejas teruk bahagian utara Rio, di mana orang ramai terkorban akibat tanah susur, lemas dan terkena renjatan elektrik. Setakat petang kelmarin, anggota bomba masih mencari seorang wanita yang hilang selepas keretanya terjatuh ke dalam sungai.

    Air daripada ribut itu mencecah bumbung kereta di beberapa bahagian Avenida de Brasil, lebuh raya utama di bandar tersebut.

    Datuk Bandar, Eduardo Paes mengisytiharkan keadaan ini sebagai ‘darurat’, sambil menggesa orang ramai untuk tinggal di rumah demi keselamatan mereka sendiri dan supaya tidak mengganggu usaha menyelamat.

    Perkhidmatan bas dihentikan dan beberapa stesen metro ditutup kerana terdapat air di landasan.

    Di Acari, salah satu kawasan yang paling teruk terjejas, air membanjiri pejabat bawah tanah hospital Ronaldo Gazolla dan perniagaan terjejas teruk.

    “Saya tiba di tempat kerja dan semuanya dinaiki air. Setiap tahun perkara yang sama berlaku apabila hujan turun dengan lebat di sini, ia bertukar menjadi kolam,” kata Alexandre Gomes, sementara cuba mengeluarkan air dari kedai tempat dia bekerja. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda