Monday, May 12, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hujan lebat ragut 7 nyawa

    SEOUL, 9 OGOS – Terowong kereta api bawah tanah dan laluan jalan utama di ibu negara Korea Selatan, Seoul, ditenggelami air selepas hujan lebat mengakibatkan banjir, dengan sekurang-kurangnya tujuh terkorban manakala tujuh lagi hilang, menurut kenyataan pegawai hari ini.

    Pihak berkuasa memberi amaran lebih banyak turunan hujan diramal dan petugas kecemasan bergelut untuk membersihkan kereta yang menghalang jalan kerana dihanyutkan banjir.

    Imej yang dikongsikan di media sosial lewat kelmarin menunjukkan orang ramai meredah jalan yang dinaiki air paras pinggang, stesen metro dibanjiri, dan kereta-kereta ditenggelami air di daerah Gangnam, yang teruk dilanda banjir apabila hujan lebat berlaku.

    Hujan bermula kelmarin adalah yang paling lebat di Korea Selatan dalam tempoh 80 tahun, menurut Agensi berita Yonhap.

    “Sekurang-kurangnya tujuh orang terkorban di Seoul, manakala tujuh lagi hilang, akibat hujan lebat,” menurut pegawai dari Kementerian Dalam Negeri memberitahu AFP.

    Sebuah kereta yang mengalami kerosakan selepas dihanyutkan semasa hujan lebat di Seoul, Korea Selatan, kelmarin.- AP

    Laporan tempatan berkata tiga orang yang tinggal di sebuah apartmen bawah tanah yang sempit termasuk seorang remaja, terkorban ketika apartmen yang mereka diami dibanjiri air.

    Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol menyalahkan perubahan iklim punca rekod turunan hujan itu dan berkata pihak kerajaan perlu menyesuaikan keadaan.

    “Kerajaan mesti menilai sistem pengurusan bencana ketika ini sekali lagi, memandangkan keadaan cuaca tidak menentu berpunca daripada perubahan iklim yang menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita,” katanya.

    “Kita perlu bertindak sepenuhnya sehingga keadaan ini berakhir bagi melindungi nyawa dan harta benda serta mengambil langkah sehingga ke penghujung, sehingga orang ramai merasa cukup.”

    Tetapi Yoon berdepan kritikan online kerana gagal melawat pusat kawalan kecemasan kerajaan lewat kelmarin. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda