PESHAWAR, PAKISTAN, 1 APRIL – Hujan lebat mengorbankan lapan orang, kebanyakannya kanak-kanak, dan mencederakan 12 lagi di barat laut Pakistan, kata seorang pegawai baru-baru ini.
Hujan lebat di daerah berbeza di wilayah Khyber Pakhtunkhwa menyebabkan bilik runtuh, menghempap orang di dalam, menurut Anwar Shahzad, jurucakap pihak berkuasa pengurusan bencana tempatan.
Shahzad berkata tiga daripada yang maut adalah adik-beradik berusia antara 3 dan 7 tahun, dari keluarga yang sama. Kejadian berlaku dalam tempoh 24 jam lalu, tambahnya.
Di sempadan di Afghanistan, hujan lebat pada 29 dan 30 Mac memusnahkan lebih 1,500 ekar tanah pertanian, menyebabkan kerosakan teruk kepada ratusan rumah dan infrastruktur kritikal seperti jambatan dan jalan raya di tujuh wilayah, kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB pada Sabtu. – AFP


