BEIJING, 19 JULAI – Hujan lebat di wilayah Shaanxi, utara China, telah meragut lima nyawa manakala lapan orang hilang, lapor media rasmi tempatan, hari ini.
Hujan lebat melanda sebahagian besar wilayah utara dan tengah China sejak Selasa, mencetuskan banjir kilat dan menjejaskan pengangkutan awam.
Menurut agensi berita Xinhua, di bandar Baoji, wilayah Shaanxi, hujan lebat telah mencetuskan tanah runtuh dan aliran lumpur. Setakat ini, lima orang telah disahkan meninggal dunia, manakala lapan lagi masih hilang.
Lebih 2,000 orang di bandar tersebut telah dipindahkan, dengan perkhidmatan di beberapa laluan kereta api turut terjejas.
Wilayah jiran seperti Gansu dan Henan juga terjejas akibat hujan lebat minggu ini, menurut Xinhua.
Wilayah Shandong di timur China dijangka akan menerima lebih banyak hujan lebat dalam tempoh 24 jam akan datang, begitu juga wilayah Sichuan di barat daya, menurut Pentadbiran Meteorologi China.
China sedang mengalami musim panas yang dicengkam cuaca ekstrem, dengan hujan lebat di wilayah timur dan selatan, sementara banyak kawasan di utara menghadapi gelombang panas berturut-turut. – AFP