Wednesday, July 3, 2024
29.3 C
Brunei

    -

    Hujan menyebabkan kematian, kemusnahan di beberapa negeri di India

    NEW DELHI, 1 JULAI – Selepas gelombang haba yang membawa maut, India kini bergelut dengan hujan monsun yang lebat, yang telah menyebabkan banjir kilat, kerosakan jalan raya dan harta benda, dan kenaikan paras air sungai.

    Kematian berkaitan hujan telah berlaku di ibu negara Delhi dan kawasan lain.

    Lima ahli keluarga termasuk empat kanak-kanak, dilaporkan lemas di air terjun, tempat pelancongan popular, di kawasan Lonavala Maharashtra, kira-kira 80km dari Mumbai.

    Video yang menyayat hati mengenai kejadian itu kelmarin menunjukkan mereka saling berpegang antara satu sama lain dalam usaha untuk menyelamatkan diri ketika arus air yang kuat menghanyutkan mereka.

    Menurut laporan media tempatan, dua lagi ahli keluarga berjaya berenang ke tempat selamat.

    Di bandar Mathura, negeri Uttar Pradesh, kira-kira 160 kilometer dari New Delhi, dua orang terbunuh dan 12 cedera parah pada Ahad selepas tangki air berkapasiti 250,000 liter runtuh.

    Kehidupan normal terganggu di beberapa bandar Gujarat, termasuk Ahmedabad dan Surat, disebabkan oleh air yang bertakung dan lebih banyak hujan diramalkan di kawasan itu.

    Sebuah kanopi runtuh di lapangan terbang Rajkot, Gujarat di tengah-tengah hujan pada Sabtu.

    Bihar, Arunachal Pradesh, Madhya Pradesh, Nagaland, Manipur, Mizoram, Rajasthan dan Uttarakhand merupakan antara negeri yang Jabatan Meteorologi India melaporkan hujan lebat semalam.

    India musim panas ini mengalami gelombang haba yang teruk, dengan suhu di beberapa kawasan barat laut mencecah hampir 50 darjah Celsius. – Bernama

    Gambar freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Kebakaran gas di lombong arang batu Australia berlarutan tiga hari

    SYDNEY, 3 JULAI – Sebuah lombong arang batu utama di Australia masih mengalami kebakaran gas bawah tanah yang telah berlarutan selama tiga hari selepas...