MUMBAI, 26 MEI – Hujan lebat membadai bandar India, Mumbai hari ini, apabila musim monsun tahunan tiba kira-kira dua minggu lebih awal daripada kebiasaan, menurut ramalan cuaca.
Hujan lebat yang menyejukkan suhu, sesuatu yang dialu-alukan oleh para petani untuk tanaman mereka tetapi saban tahun menyebabkan kekacauan di bandar akibat banjir pada infrastruktur pengangkutan.
Keadaan itu lazimnya dijangka tiba di negeri barat daya Maharashtra pada awal bulan Jun.
Ketua cuaca Mumbai, Shubhangi Bhute daripada Jabatan Meteorologi India, berkata ini adalah ketibaan monsun paling awal sejak rekod jabatan itu bermula pada tahun 2011.
“Hal itu merupakan ketibaan monsun paling awal di negeri ini sejak itu, jadi ini merupakan yang paling awal dalam tempoh 14 tahun,” kata Bhute.
Asia Selatan semakin panas dan dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah menyaksikan corak cuaca yang berubah-ubah, namun para saintis masih belum pasti bagaimana pemanasan global memberi kesan secara tepat kepada sistem monsun yang amat kompleks.
Monsun barat daya merupakan angin laut yang besar dan membawa antara 70 hingga 80 peratus hujan tahunan ke Asia Selatan setiap tahun, antara bulan Jun hingga September.
Fenomena ini berlaku apabila haba musim panas memanaskan tanah besar benua kecil India, menyebabkan udara panas naik dan menarik angin sejuk dari Lautan Hindi, yang kemudiannya menghasilkan hujan yang sangat lebat.
Monsun amat penting untuk sektor pertanian dan secara langsung kepada kehidupan jutaan petani serta keselamatan makanan negara.
Namun, ia juga membawa kemusnahan setiap tahun dalam bentuk tanah runtuh dan banjir.
Di India, monsun barat daya biasanya tiba di hujung selatan negeri Kerala sekitar 1 Jun, dan bergerak ke utara untuk meliputi seluruh negara menjelang awal Julai.
Lazimnya, hujan hanya sampai ke Maharashtra sekitar 7 Jun. -AFP


