Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hujan monsun cetus banjir besar, tanah runtuh di India

    NEW DELHI, 26 OGOS – Hujan monsun lebat melanda wilayah Jammu, Kashmir hari ini, mengakibatkan banjir besar sehingga menenggelamkan rumah, merosakkan jambatan dan memutuskan talian komunikasi.

    Agensi berita Press Trust of India (PTI) melaporkan lima maut dalam kejadian tanah runtuh di daerah Reasi, selain menyiarkan rakaman video arus deras berwarna perang menghempas jambatan dan menenggelami kuil Hindu.

    Ketua Menteri Jammu, Omar Abdullah, dalam kenyataan berkata beliau akan menaiki ‘penerbangan paling awal’ untuk meninjau keadaan yang disifatkan sebagai ‘amat serius’ di banyak kawasan wilayah itu.

    Menurut PTI, talian telefon turut terjejas, manakala AFP melaporkan masih belum dapat mengesahkan angka penuh kerosakan dan korban daripada pihak berkuasa rasmi.

    Banjir dan tanah runtuh lazim berlaku sepanjang musim monsun Jun hingga September, namun pakar menegaskan perubahan iklim serta pembangunan tidak terancang meningkatkan kekerapan serta tahap kemusnahan bencana tersebut.

    Terdahulu pada 5 Ogos, bandar Dharali di Uttarakhand dilanda banjir lumpur yang dijangka meragut lebih 70 nyawa, manakala pada 14 Ogos, sekurang-kurangnya 60 penduduk maut selepas hujan lebat memusnahkan sebuah perkampungan di Chisoti, Kashmir. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda