Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hujan monsun India: Bencana dan krisis iklim

    BENGALURU — Setiap tahun dari Jun hingga September, satu siri hujan lebat yang dikenali sebagai monsun melanda benua kecil India, memberi kelegaan daripada cuaca panas, mengairi ladang dan mengisi semula sungai-sungai di rantau ini.

    Namun begitu, apabila suhu global terus meningkat, corak hujan menjadi semakin tidak menentu dan lebih ekstrem, mencetuskan keadaan yang membawa kepada banjir maut.

    Sepanjang tahun 2024, hampir 1,300 orang di India maut akibat hujan lebat dan banjir.

    Ratusan lagi kematian berkaitan hujan telah direkodkan tahun ini di rantau Asia Selatan, yang merangkumi India, Pakistan, Bangladesh, Bhutan, Sri Lanka, Afghanistan, Maldives dan Nepal.

    Pakar iklim berkata suhu tinggi dan hujan lebat juga menyumbang kepada pencairan glasier di kawasan pergunungan Himalaya, menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh.

    Anggota tentera dan pasukan penyelamat memindahkan pesakit serta kakitangan perubatan dari sebuah hospital yang dilanda banjir selepas kejadian tanah runtuh dan banjir kilat semasa musim monsun di Imphal, India, 1 Jun. – AP
    Seorang penduduk kampung meredah banjir untuk ke kawasan yang lebih selamat selepas beberapa hari hujan monsun lebat di Kampur, negeri Assam di timur laut India, 2 Jun. – AP
    Seorang penunggang motosikal bersama keluarganya meredah hujan lebat di sebuah jalan raya di Rawalpindi, Pakistan, 27 Jun. – AP
    Awan monsun mula berkumpul di langit New Delhi, India, 28 Jun. – AP

    MUSIM MONSUN KINI LEBIH BERBAHAYA

    Secara tradisinya, Asia Selatan mempunyai dua musim monsun. Yang pertama berlaku dari Jun hingga September, apabila hujan bergerak dari barat daya ke timur laut. Yang kedua, sekitar Oktober hingga Disember, bergerak dari arah bertentangan.

    Namun, dengan peningkatan gas rumah hijau di atmosfera, corak hujan kini hanya sebahagiannya mengikuti pola tradisional ini. Ini kerana udara yang lebih panas boleh menyerap lebih banyak wap air dari Lautan Hindi, dan hujan yang terkumpul itu sering turun sekaligus. Ini menyebabkan musim monsun diselang-selikan dengan banjir besar dan tempoh kemarau, bukannya hujan yang berterusan sepanjang musim.

    “Kita sedang menyaksikan perubahan iklim yang ketara dalam corak monsun di seluruh Asia Selatan,” kata Roxy Mathew Koll, pakar iklim dari Institut Meteorologi Tropika India di Pune dan penulis beberapa laporan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

    Sebelum ini, penduduk India dan negara jiran menantikan kedatangan hujan monsun sebagai penamat musim panas yang menyeksa. Namun, kini sikap mereka semakin berubah berikutan peningkatan bencana semasa musim hujan.

    “Kekerapan dan intensiti hujan ekstrem semakin meningkat, sering kali mengatasi sistem perparitan di kawasan bandar dan mencetuskan banjir kilat,” kata Koll.

    Suhu tinggi dan tempoh kemarau yang lebih panjang turut menyukarkan kegiatan pertanian di Asia Selatan, menurut para pakar iklim.

    “Lebih 60% penduduk di Asia Selatan bergantung kepada pertanian, dan hampir kesemuanya bergantung kepada hujan monsun,” kata Finu Shreshta, pakar iklim dari Pusat Pembangunan Gunung Bersepadu Antarabangsa (ICIMOD) yang berpangkalan di Kathmandu, Nepal.

    KAWASAN GUNUNG MENYAKSIKAN LEBIH BANYAK TASIK GLASIER MELIMPAH

    Satu laporan pada tahun 2023 oleh organisasi Shreshta mendapati bahawa glasier di kawasan pergunungan Hindu Kush dan Himalaya mencair pada kadar yang belum pernah terjadi sebelum ini. Kajian tersebut menunjukkan sekurang-kurangnya 200 daripada lebih 2,000 tasik glasier di rantau itu berisiko melimpah, yang boleh menyebabkan kemusnahan besar di kawasan hiliran. Hujan monsun yang lebat boleh memburukkan lagi masalah ini.

    “Banyak kawasan pergunungan mengalami pemanasan melebihi purata global, menyebabkan lebih banyak glasier mencair,” kata Miriam Jackson, pakar glasier di Inisiatif Iklim Kriosfera Antarabangsa.

    Pada Oktober 2023, limpahan tasik glasier di negeri Sikkim, India, mencetuskan banjir yang meragut 55 nyawa serta merosakkan jambatan, bangunan dan sebuah empangan hidroelektrik yang sedang dibina.

    Hujan lebat dan peningkatan haba turut menyumbang kepada kejadian runtuhan salji dan ais, runtuhan batu serta kejadian lain yang boleh menyebabkan tasik glasier pecah atau melimpah, menurut Shreshta.

    “Malah tasik glasier kecil pun kini mula pecah dan menyebabkan kerosakan,” katanya.
    Perancangan Jangka Panjang Boleh Bantu Kurangkan Risiko.

    Pakar iklim berkata pemasangan sistem amaran awal dan pembinaan di kawasan kurang berisiko boleh membantu mengurangkan kesan buruk akibat hujan lebat.

    “Jika kita tahu banjir sedang datang, maka orang ramai boleh berpindah ke kawasan lebih tinggi, dan sistem amaran awal standard boleh dipasang di sepanjang sungai yang mengeluarkan isyarat siren,” kata Jackson, sambil menambah bahawa media sosial dan aplikasi mesej boleh digunakan untuk menyebarkan amaran kepada penduduk di kawasan hiliran.

    Koll pula berkata pembangunan pesat di kawasan bandar, penyempitan dataran banjir dan kehilangan sistem saliran semula jadi turut memburukkan kesan hujan lebat.

    Beliau menegaskan bahawa kebanyakan tindak balas kerajaan kini hanya berlaku selepas bencana, tanpa perancangan jangka panjang.

    “Dalam musim monsun akan datang, hujan ekstrem dijangka menjadi lebih kuat, di samping gangguan bekalan air. Maka kita memerlukan strategi jangka panjang yang proaktif, menggabungkan sains, dasar dan penglibatan masyarakat,” katanya.

    Namun, menurut Jackson, isu paling besar adalah keperluan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau kerana terdapat had kepada sejauh mana manusia boleh menyesuaikan diri dengan cuaca ekstrem.

    “Jika kita terus beroperasi seperti biasa dengan tahap pelepasan yang sama, dunia akan menjadi semakin panas dan hujan serta banjir akan menjadi lebih ekstrem.

    Pada satu tahap, kita mungkin melepasi had kemampuan untuk menyesuaikan diri,” katanya. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda