Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hujan monsun ragut 30 nyawa di Timur Laut India

    GUWAHATI, 1 JUN – Banjir kilat dan tanah runtuh akibat hujan monsun lebat yang melanda sejak dua hari lalu telah meragut sekurang-kurangnya 30 nyawa di timur laut India, menurut pegawai bencana, hari ini.

    Pegawai pengurusan bencana negeri melaporkan lapan kematian di Assam dan sembilan lagi di Arunachal Pradesh, dengan kebanyakan mangsa terperangkap dalam kejadian tanah runtuh apabila tanah yang lembut akibat hujan menggelongsor ke dalam lembah.

    Lima lagi maut dalam kejadian tanah runtuh di negeri jiran Mizoram, menurut pihak berkuasa negeri. Pegawai turut melaporkan enam kematian di Meghalaya dan sekurang-kurangnya dua orang lagi terbunuh di Nagaland dan Tripura.

    Amaran merah telah dikeluarkan bagi beberapa daerah di rantau tersebut selepas hujan lebat tanpa henti selama tiga hari berturut-turut. Sungai-sungai yang melimpah akibat hujan lebat – termasuk Sungai Brahmaputra yang besar, yang bermula dari Himalaya dan mengalir melalui timur laut India ke delta di Bangladesh – telah melanggar tebing dan membanjiri kawasan sekitarnya.

    Tentera India memaklumkan bahawa mereka telah menyelamatkan ratusan orang dalam satu operasi menyelamat besar-besaran di seluruh negeri Manipur.

    Penduduk meredah jalan yang dinaiki air selepas hujan lebat melanda kampung Khurai Konsam Leikai di daerah Manipur, India pada 31 Mei. – AFP

    “Orang ramai telah dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat,” kata tentera pada Sabtu.

    “Makanan, air dan ubat-ubatan penting turut disediakan.”

    Ketua Menteri Meghalaya, Conrad K. Sangma, dalam satu kenyataan mengarahkan pegawai untuk terus berwaspada terutamanya di kawasan yang terdedah kepada tanah runtuh dan kawasan rendah.

    Setiap tahun, puluhan orang terkorban semasa musim hujan akibat banjir kilat dan tanah runtuh di seluruh India, sebuah negara berpopulasi 1.4 bilion penduduk.

    Musim monsun tahunan India dari bulan Jun hingga September bukan sahaja memberi kelegaan daripada cuaca panas terik, malah penting untuk mengisi semula bekalan air, namun ia turut membawa kematian dan kemusnahan yang meluas.

    Asia Selatan kini mengalami peningkatan suhu dan corak cuaca yang semakin berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun para saintis masih belum jelas bagaimana pemanasan global memberi kesan langsung kepada corak monsun.

    Bulan lalu, ibu kota kewangan India, Mumbai, telah dilanda hujan monsun lebih awal daripada kebiasaan iaitu dua minggu lebih awal, menjadikannya permulaan paling awal dalam tempoh hampir 25 tahun, menurut ramalan cuaca tempatan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda