NEW DELHI, 13 JULAI – Sekolah dan kolej ditutup selepas rekod hujan monsun mencetuskan banjir besar, jalan raya berlubang, rumah runtuh dan kesesakan lalu lintas di sebahagian besar kawasan utara India minggu ini, mengorbankan lebih 100 orang, kata pegawai hari ini.
Sekurang-kurangnya 88 orang maut dan lebih 100 cedera di negeri Himachal Pradesh yang paling teruk terjejas di mana kereta, bas, jambatan dan rumah dihanyutkan oleh air banjir, kata satu kenyataan kerajaan negeri, hampir 500 kilometer di utara New Delhi.
Dua belas orang maut akibat kejadian berkaitan hujan sejak Rabu di negeri Uttar Pradesh, kata Shishir Singh, jurucakap kerajaan negeri.
Sembilan daripada mereka lemas, dua maut selepas dipanah petir dan seorang terbunuh akibat dipatuk ular, kata Singh.Seorang terkorban di New Delhi dan empat terbunuh di bahagian Kashmir yang dikuasai India, kata pegawai.
Pihak berkuasa menggunakan helikopter untuk menyelamatkan hampir 300 orang, kebanyakannya pelancong, yang terkandas di kawasan Chandertal di negeri Himachal Pradesh sejak Sabtu. Mereka termasuk tujuh orang sakit yang telah diterbangkan pada hari Selasa, kata kerajaan.
Hampir 170 rumah runtuh dan 600 lagi rosak sebahagiannya akibat hujan lebat dan tanah runtuh di negeri ini, kata pusat operasi kecemasan negeri. – AP
