SINGAPURA – Meskipun hujan yang membasahi bumi Johor kebelakangan ini menyebabkan beberapa bahagian negeri itu dinaiki air, namun ia juga rahmat yang amat dinanti-nantikan.
Ini kerana bulan lepas timbul kebimbangan apabila takungan air di Johor mula merosot paras airnya akibat musim kemarau.
Bagaimanapun, sama ada curahan air hujan sejak akhir-akhir ini akan memenuhi takungan air, ia masih belum dapat diketahui.
Takungan air yang paling menjadi tumpuan di Johor ialah Takungan Air Linggiu kerana ia membekalkan air bukan sahaja untuk keperluan negeri ini tetapi juga Singapura.
Apabila takungan air itu mula kering, timbul keresahan bagaimana kedua-dua negeri itu dapat menguruskan keperluan sumber air yang terhad seandainya musim kering berterusan.
Paras air rendah
Malahan pada September tahun lepas Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong melahirkan rasa bimbangnya mengenai paras air rendah di Takungan Air Linggiu. Dalam Facebooknya, Lee turut memaparkan gambar Takungan Air Linggiu. Beliau mengambil gambar itu dari udara sewaktu dalam penerbangan ke China. “Takungan air itu hanya 25 peratus penuh selepas bebe-rapa tahun begitu sedikit hujan. Keadaan ini amat membimbangkan,” kata Lee.
Beliau turut menyertakan sama gambar dari Google Earth yang menunjukkan keadaan Takungan Air itu ketika penuh. Paras air di Takungan Air Linggiu terus merosot dan pada 1 Januari itu ia hanya 27 peratus penuh.
Berikutan dengan keadaan itu, Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan dilaporkan berkata terdapat “risiko besar” sekiranya bekalan air dari Takungan Air Linggiu kering pada tahun 2017 sekiranya tahun itu terus tiada hujan yang mencukupi. Sekiranya paras air di takungan itu menjunam kepada sifar, keadaan ini akan mencetuskan “keadaan tenat” untuk Singapura dan Malaysia, beliau dipetik sebagai berkata di Parlimen.
Menjejaskan jumlah air
Paras air di Takungan Air Linggiu secara langsung menjejaskan jumlah air yang boleh diambil Singapura dari Sungai Johor. Sungai itu membekalkan kira-kira separuh daripada ke-perluan air Singapura.
Di bawah perjanjian 1962 yang akan berakhir pada 2061, Singapura menerusi Public Utilities Board mempunyai hak penuh serta eksklusif untuk mengambil sehingga 250 juta gelen (mgd) setiap hari dari Sungai Johor pada harga 3.0 sen setiap 1,000 gelen.
Meskipun satu “barrage” baru dibina di sungai itu dan mula beroperasi Ogos lepas untuk menyekat kemasukan air laut, sungai itu masih tidak mampu menampung keperluan PUB dan loji rawatan air Semangar dan Sungai Johor.
Musim kemarau ditambah dengan kadar jumlah air yang diambil dari takungan air itu menyebabkan paras air merudum daripada 84 peratus pada permulaan 2015 kepada 49 di permulaan 2016.
Paras paling rendah dicatat ialah 20 peratus pada Oktober 2016. Sekiranya Takungan Air Linggiu menjadi kering-kontang, sudah tentu PUB tidak akan dapat mengambil air sebanyak 250 mgd yang menjadi haknya setiap hari.
NEWater
Di tengah-tengah kebimbangan kemerosotan paras air itu, Singapura secara rasmi-nya membuka loji NEWaternya yang kelima pada 18 Jan lepas. Langkah itu membolehkan NEWater memenuhi 40 peratus jumlah keperluan air harian Singapura.
Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura Masagos Zulkifli dilaporkan berkata bahawa air sumber yang sukar diperoleh sentiasa menjadi “isu penting” untuk Singapura.
Menurut beliau, Loji NEWater yang terkini itu adalah satu daripada pelaburan utama dalam infrastruktur air bagi mengukuhkan kedudukan Singapura ketika berdepan dengan ketidaktentuan cuaca.
NEWater dihasilkan daripada air yang dipakai serta dirawat dan ditulenkan seterusnya menggunakan teknologi terkini termasuk sinar ultraviolet.
Loji baru ini mempunyai kapasiti 228,000 meter padu atau 50 juta gelen sehari dan antara loji NEWater terbesar dari segi kapasiti. Ia mempunyai keluasan 49,000 meter persegi iaitu bersamaan hampir tujuh setengah padang bola dan dibina dengan kos sekitar S$170 juta.
Masagos menekankan bahawa Singapura semakin bergantung kepada sumber air bukan tradisi serta lebih mahal seperti air daripada tiga loji desalinasi yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020.
Singapura juga cuba mengurangkan penggunaan air per kapita domestik dari 151 liter sehari kepada 140 liter menjelang tahun 2030.
Sebelum ini ia berjaya mengurangkan kepada 165 liter sehari pada tahun 2003.
Negara ini setakat ini berjaya menghasilkan bekalan air dari empat sumber air yang dikenali sebagai Empat Paip Negara “Four National Taps” iaitu air dari kawasan tadahan tempatan, air diImport, air ditebus guna (dikenali NEWater) dan air disalinasi.
Bagi saya pula, setelah tinggal di negara yang amat menghargai setiap titis air, saya amat berhemat dalam penggunaan air dalam kehidupan harian bukan setakat ketika saya berada di Republik ini tetapi juga sekembalinya saya ke Malaysia. – Bernama