Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hujan, ribut ragut 32 nyawa di Pakistan dalam seminggu

    KARACHI, 30 MEI – Sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh dan lebih 150 lagi cedera di Pakistan dalam tempoh seminggu akibat ribut yang melanda selepas gelombang haba, dengan pihak berkuasa melaporkan lima lagi kematian hari ini.

    Lima orang termasuk seorang kanak-kanak maut kelmarin di beberapa daerah di wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa semasa hujan lebat dan angin kencang, menurut pihak berkuasa pengurusan bencana wilayah tersebut.

    Cuaca ribut dijangka berterusan di wilayah utara dan tengah Pakistan sehingga Sabtu, menurut pejabat meteorologi negara.

    Ribut kencang telah meragut 10 nyawa pada Selasa dan 14 nyawa pada Sabtu lalu di pelbagai kawasan di negara itu, yang merupakan antara negara paling terdedah kepada perubahan iklim dan kini berdepan kejadian cuaca ekstrem yang semakin kerap berlaku.

    Tiga kanak-kanak turut terkorban pada Rabu di Hyderabad, wilayah Sindh, menurut seorang pegawai kanan.

    Kebanyakan kematian berpunca daripada runtuhan dinding dan bumbung, namun sekurang-kurangnya dua mangsa maut selepas terkena panel solar yang tercabut akibat tiupan angin kuat.

    Setiap tahun, ribut kuat meragut nyawa di Pakistan dan kejadian tersebut berlaku dengan kekerapan luar biasa pada bulan ini.

    Gelombang haba pada Mei menyusuli cuaca panas luar biasa pada April dan musim sejuk yang sangat kering.

    Suhu meningkat sehingga enam darjah Celsius melebihi paras normal pada bulan Mei, dengan paras tertinggi melebihi 48 darjah Celsius. – AFP

    Seorang lelaki mengambil gambar sebuah masjid yang rosak, sehari selepas banjir kilat melanda kampung Balgran berhampiran Muzaffarabad, ibu negeri Kashmir yang ditadbir Pakistan pada 28 Mei. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda