Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hukum berdiang di sisi syara’

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Melahirkan anak merupakan satu pengorbanan besar seorang ibu. Bukan sahaja dia bertarung nyawa untuk memberikan peluang kehidupan kepada kandungannya, dia juga mungkin harus berhempas pulas selepas itu untuk mengembalikan kesihatan serta keelokan fizikalnya yang serba sedikit telah berkurang atau mengalami perubahan sepanjang kehamilannya.

    Pelbagai kaedah yang diusahakan oleh seorang ibu yang baru bersalin untuk memulihkan keadaan fizikalnya, sama ada dengan kaedah tradisional mahupun moden. Salah satu kaedah rawatan tradisi yang diamalkan sejak turun temurun, dari satu generasi ke satu generasi hingga hari ini dalam masyarakat kita ialah amalan “berdiang”. Rawatan berdiang ini, yang juga dikenali sebagai rawatan bersalai, biasanya digunapakai oleh ibu-ibu yang baru bersalin semasa dalam tempoh pantang 40 hari. Sejak turun temurun, kaedah rawatan ini dipercayai boleh merawat wanita yang baru lepas melahirkan anak.

    TUJUAN BERDIANG DAN MANFAATNYA

    Pada kebiasaan masyarakat Brunei, amalan berdiang selepas bersalin adalah salah satu rawatan untuk pemanasan badan. Rawatan memanaskan badan boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Kaedah yang menjadi tradisi di rantau ini, termasuk di Negara Brunei Darussalam ialah dengan menggunakan peralatan tradisional dan alami; seperti api yang dihasilkan dengan membakar kayu arang.

    Selain menggunakan kayu arang sebagai unggun api dalam rawatan berdiang, kayu-kayu lain juga digunakan menurut kebiasaan sesuatu masyarakat. Kayu-kayu ini perlu dipilih dari jenis yang baik dan tidak beracun agar asap yang keluar dari hasil pembakaran kayu tidak memudaratkan kesihatan ibu dan anak.

    Di zaman sekarang pula, alat pemanas badan atau pendiangan boleh didapati dalam bentuk moden dan terkini yang dicipta lebih mesra pengguna seperti pendiang lampu yang menghasilkan sinar infra merah yang mudah digunakan dan menjimatkan masa dengan hanya memetik suis tenaga elektrik bagi mengeluarkan bahang panas, tanpa perlu bersusah-payah menyalakan api dengan kayu dan mengeluarkan asap.

    Gambar Freepik

    Rata-rata wanita zaman kini kebanyakannya lebih memilih untuk menggunakan alat seperti heater berbanding mengunakan cara tradisi iaitu mengunakan arang atau kayu. Selain lebih mudah, ia juga mungkin disebabkan faktor keselamatan kerana terdapat beberapa kes kemalangan yang pernah berlaku dalam pengamalan rawatan berdiang secara tradisi.

    Antaranya kejadian kulit melecur kerana bahang api daripada arang yang dibakar serta bahaya risiko keracunan karbon monoksida yang boleh berlaku akibat asap yang keluar dari hasil pembakaran arang dan kayu. Bagaimanapun, rawatan berdiang atau bersalai secara tradisi iaitu mengunakan arang atau kayu masih lagi diamalkan oleh sesetengah wanita.

    Berdasarkan ilmu yang diperolehi melalui pengalaman pengamal rawatan berdiang, rawatan memanaskan badan melalui berdiang sangat berkesan dalam mendatangkan faedah-faedah berikut:

    (i) Melancarkan perjalanan darah.
    (ii) Mengecutkan semula rahim setelah melahirkan anak.
    (iii) Mengelakkan bisa urat, otot badan dan sakit pinggang, sehingga ia mempercepatkan kesembuhan.
    (iv) Memiliki badan yang langsing.

    Apa yang pasti, tujuan asal rawatan berdiang selepas bersalin hanya untuk mengambil manfaat dari bahang panas semata-mata dan tidak ada kaitan sama sekali dengan asap.

    HUKUM BERDIANG MENURUT SYARA’

    Memelihara nyawa merupakan salah satu maqasid syari‘ah yang lima selain memelihara agama, akal, harta dan keturunan. Salah satu jalan untuk memelihara nyawa ialah dengan berubat supaya mendapat kesembuhan daripada segala penyakit dan memulihkan atau mengembalikan kesihatan. Bahkah ia boleh menjadi wajib dalam keadaan-keadaan tertentu. Hal ini ada disebutkan dalam resolusi yang dikeluarkan oleh Akademi Fiqh Islam Antarabangsa dalam sidangnya yang ketujuh di Jeddah pada 7-12 Zulqae‘dah 1412H bersamaan 9-14 Mei 1992M, yang antara lain menyatakan:

    “Hukum berubat berbeza mengikut keadaan dan individu: Adakala ia menjadi wajib apabila meninggalkan berubat itu boleh membinasakan nyawa atau salah satu anggota atau melumpuhkan diri atau penyakit berjangkit yang merbahaya. Ia menjadi sunat jika meninggalkan berubat itu boleh melemahkan badan dan tidak sampai kepada keadaan yang telah disebutkan sebelum ini. Ia menjadi harus jika keadaannya tidak termasuk dalam kedua-dua keadaan yang telah disebutkan sebelum ini. Ia menjadi makruh jika sesuatu rawatan itu ditakuti boleh mengakibatkan timbulnya penyakit-penyakit yang lebih merumitkan daripada penyakit yang ingin dihilangkan.”

    Bagi seorang manusia, kesihatan merupakan satu nikmat yang tidak ternilai. Bahkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri mengiktiraf bahawa nikmat kesihatan merupakan nikmat terbesar selepas nikmat iman. Sayyidina Abu Bakar as-Shiddiq Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    Mohonlah kepada Allah keampunan dan kesihatan. Sesungguhnya, selepas kurniaan keyakinan (iman), tidak ada pemberian yang lebih baik terhadap seseorang selain kurniaan kesihatan. (Hadits riwayat at-Tirmidzi, Ibn Majah dan Ahmad)

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda