Sunday, February 9, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hukum berdiang di sisi syara’

    Sambungan minggu lepas

    Maksud hadits berkenaan, di samping keampunan, kesihatan merupakan kurniaan kedua terbesar terhadap seseorang selepas kurniaan iman. Kerana itulah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menganjurkan umatnya supaya sentiasa berusaha dan memohon nikmat kesihatan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    Dari itu jelas sekali bahawa merawat penyakit dan mengekalkan kesihatan itu adalah satu tuntutan Islam. Ini dengan syarat bahawa tidak ada dipraktikkan atau dikaitkan apa-apa unsur yang bertentangan dengan syari‘at Islam dalam menjalankan rawatan tersebut.

    Bagaimanapun, sekiranya rawatan tersebut melibatkan sesuatu yang bertentangan dengan syara‘, seperti terdapat unsur-unsur tahyul, syirik dan seumpamanya, maka kaedah perubatan itu adalah ditegah dan dinilai haram di sisi syara‘. Abu ad-Darda’ Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan ubat, dan dijadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah kamu, dan jangan kamu berubat dengan yang haram. (Hadits riwayat Abu Daud)

    Dalam permasalahan membuat rawatan selepas bersalin dengan kaedah berdiang ini, hadits di atas menjadi sukat-sukat adakah ia dibenarkan oleh syara‘ ataupun sebaliknya.

    Gambar Freepik

    Jika dilihat pada tujuan asal pengamalan rawatan berdiang selepas bersalin, ia sebenarnya hanya mengambil manfaat dari bahang panas bagi merawat wanita yang baru lepas melahirkan anak dan tidak ada kena mengena dengan asap. Dari itu, kaedah ini pada dasarnya diharuskan syara‘ kerana menurut penggunaan asalnya, ia tidak mengandungi apa-apa unsur syirik mahupun apa-apa unsur yang bertentangan dengan aqidah serta ajaran Islam.

    Walau bagaimanapun, sekiranya dikaitkan amalan berdiang ini dengan unsur syirik; seperti menggunakan api diang dan asapnya untuk pemujaan jin, maka perbuatan sedemikian adalah haram dan bertentangan dengan aqidah Islam.

    Perbuatan memuja jin merupakan satu perbuatan yang boleh membawa syirik kerana ia bererti mempercayai ada kuasa lain selain Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang mampu memberi dan menolak kemudaratan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    Dan janganlah engkau menyembah selain daripada Allah, apa yang tidak memberi manfaat dan tidak (pula) mendatangkan mudharat kepadamu, sebab jika engkau lakukan yang sedemikian itu, maka sesungguhnya engkau termasuk daripada orang-orang yang zalim. (Surah Yunus: 106)

    Perbuatan syirik bererti menyekutukan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan menyeru atau menyembah selain Dia. Syirik merupakan dosa besar yang paling besar. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya:

    Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain) maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar. (Surah an-Nisa’: 48)

    Demikian penjelasan mengenai hukum berdiang di sisi syara‘. Kesimpulannya, sekiranya ia diamalkan sepertimana tujuan asalnya, iaitu untuk mengambil manfaat dari rawatan memanaskan badan, maka hukumnya adalah harus. Bagaimanapun, sekiranya ia misalnya mengandungi unsur-unsur syirik seperti mengaitkannya dengan kepercayaan bahawa asapnya adalah untuk pemujaan jin, maka kepercayaan sedemikian adalah salah dan bertentangan dengan aqidah Islam.

    Selain berawas-awas supaya amalan berdiang itu tidak dikaitkan dengan unsur-unsur yang menyalahi syara‘, perlu juga diperhatikan aspek keselamatan dalam mempraktikkannya kerana amalan berdiang secara tradisional terutamanya, terdedah kepada berbagai macam bahaya dan kemudaratan. Maka sayugia diambil langkah berhati-hati dengan menerapkan unsur-unsur keselamatan. Antaranya dengan memerhatikan tempat peralatan berdiang itu diletakkan supaya kejadian melecur atau kebakaran tidak berlaku. Begitu juga dengan memilih arang atau kayu dari jenis yang baik dan tidak beracun di samping tidak menjalankan rawatan tersebut pada ruang yang tertutup bagi mengelakkan keracunan karbon monoksida yang terhasil daripada pembakaran arang dan seumpamanya.

    Sekiranya tidak pasti dengan aspek keselamatan ini, maka sebagai irsyad, adalah lebih selamat untuk menggunakan alternatif lain dengan menjalankan rawatan berdiang melalui kaedah moden iaitu menggunakan heater dan seumpamanya kerana ia lebih mudah dan selamat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda