(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wassallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
SEMBAHYANG fardu Jumaat diwajibkan (fardu ‘ain) ke atas setiap lelaki Islam yang merdeka, baligh, berakal, bermuqim dan tidak ada keuzuran. Sembahyang fardu Jumaat itu adalah sembahyang yang paling afdhal dan harinya pula adalah hari yang paling afdhal. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling agung di sisi Allah iaitu hari yang paling agung di sisi Allah daripada Hari Raya Adha dan Hari Raya Fitrah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Hadis ini jelas menyatakan bahawa hari Jumaat itu adalah penghulu segala hari dan ia lebih agung di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala berbanding dengan dua Hari Raya. Oleh itu, perbesarkanlah hari Jumaat itu dengan memperbanyakkan bacaan Al-Qur’an, selawat, doa dan zikir.
Di Negara Brunei Darussalam hari Jumaat merupakan hari kelepasan awam di kebanyakan sekolah, universiti, institusi dan jabatan-jabatan kerajaan. Setentunya pada hari tersebut ibu bapa tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama keluarga bagi mengisi waktu lapang dengan bermacam-macam aktiviti. Ada sebahagiannya melancong ke negara jiran, mengunjungi sanak saudara, berehat di rumah dan ada juga sebahagiannya pergi membeli belah.
Aktiviti-aktiviti tersebut tidaklah bertentangan dengan hukum syara‘ akan tetapi ada beberapa perkara yang perlu diketahui khususnya pada hari Jumaat, antaranya ialah berjual beli ketika sembahyang fardu Jumaat.
Hukum Berjual Beli Pada Hari Jumaat
Berjual beli pada hari Jumaat mempunyai hukumnya tersendiri. Sungguhpun asal hukum berjual beli itu harus di dalam Islam, namun hukumnya berbeza pada hari Jumaat.
Sebagaimana yang pernah terjadi bahawa sebahagian jemaah sembahyang fardu Jumaat meninggalkan Rasulullah Shallallahu ‘alalihi wasallam yang sedang berkhutbah kerana mereka pergi ke tempat kafilah yang datang membawa barang dagangan. Maka dengan itu turunlah ayat yang melarang perbuatan sedemikian. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya:
“Dan apabila mereka melihat suatu perniagaan atau suatu hiburan, mereka pun pergi mendapatkannya dan meninggalkan engkau (wahai nabi Muhammad) berdiri (di atas mimbar). Katakanlah: “Bahawa apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik daripada hiburan dan pernia-gaan. Dan Allah adalah sebaik-baik pemberi rezeki.” (Surah al-Jumu‘ah: 11)
Oleh itu, berjual beli ketika sembahyang fardu Jumaat adalah dilarang. Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan supaya bersegera untuk pergi mengerjakan sembahyang fardu Jumaat dan meninggalkan jual beli dan kerja-kerja yang lain. Allah Subhanahu Wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka pergilah kamu (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika benar kamu mengetahui.” (Surah al-Jumu‘ah: 9)
Jelasnya, hukum berjual beli pada hari Jumaat itu boleh dibahagikan kepada berikut:
Selepas azan kedua sembahyang fardu Jumaat sehingga selesai sembahyang fardu Jumaat
Haram ke atas orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardu Jumaat leka dengan urusan jual beli selepas azan kedua sembahyang fardu Jumaat dan khatib duduk di atas mimbar.
Maksud haram berjual beli selepas azan kedua sembahyang fardu Jumaat itu adalah bagi mereka yang belum berada di Masjid. Adapun mereka yang sudah berada di Masjid dan melakukan jual beli di dalamnya adalah makruh.
Selepas tergelincir matahari sehingga sebelum azan kedua sembahyang fardu Jumaat
Makruh ke atas orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardu Jumaat leka dengan urusan jual beli selepas tergelincir matahari sehingga sebelum azan kedua sembahyang fardu Jumaat. Ini kerana waktu itu sudah masuk waktu wajib dan perbuatannya leka dengan urusan jual beli itu seumpama perbuatan melengah-lengahkan untuk bersegera pergi mengerjakan sembahyang fardu Jumaat.
Sebelum tergelincir matahari
Harus ke atas orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardu Jumaat leka dengan urusan jual beli sebelum tergelincir matahari.
Selepas sembahyang fardu Jumaat
Harus ke atas orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardu Jumaat leka dengan urusan jual beli setelah selesai mengerjakan sembahyang fardu Jumaat.
Perkara Yang Melekakan Selain Berjual Beli
Hukum haram dan makruh itu tidak hanya terbatas pada jual beli sahaja malahan termasuk juga perkara-perkara lain yang melekakannya dari bersegera pergi mengerjakan sembahyang fardu Jumaat.
Orang Yang Dikecualikan Daripada Larangan Berjual Beli
Hukum haram berjual beli selepas azan kedua sembahyang fardu Jumaat atau hukum makruh berjual beli selepas tergelincir matahari sehingga sebelum azan kedua sembahyang fardu Jumaat itu ialah ke atas orang yang diwajibkan sembahyang fardu Jumaat.
Perempuan, kanak-kanak yang belum baligh atau lelaki dewasa yang tidak diwajibkan sembahyang fardu Jumaat seperti dalam pelayaran atau ada keuzuran, terkecuali daripada hukum haram atau makruh tersebut.
Demikian juga dikecualikan daripada hukum tersebut, orang yang diwajibkan sembahyang fardu Jumaat yang terpaksa berjual beli ketika waktu-waktu larangan tersebut kerana dharurat seperti membeli kain kafan si mati yang ditakuti berubah apabila dilambatkan atau membeli air kerana untuk bersuci atau membeli pakaian untuk menutup aurat atau seumpamanya.
Haram Berjual Beli Bersama Orang Yang Diwajibkan Sembahyang Fardu Jumaat
Walaupun orang yang tidak diwajibkan sembahyang fardu Jumaat harus berjual beli pada waktu-waktu yang dilarang, namun jika dia berjual beli bersama orang yang diwajibkan sembahyang fardu Jumaat, maka kedua-dua mereka berdosa. Ini kerana dia telah bersubahat pada melakukan yang haram.
Adakah Sah Jual Beli?
Akad jual beli yang dilakukan pada waktu-waktu yang dilarang pada hari Jumaat itu adalah sah. Ini kerana larangan itu tidak ada kaitannya dengan kesahihan akad akan tetapi disebabkan kelekaannya berurusan jual beli dan perbuatan melengahkan untuk bersegera pergi mengerjakan sembahyang fardu Jumaat. Ini sama keadaannya seperti sah sembahyang orang yang mengerjakannya dalam rumah yang dirampas.
Sebagai kesimpulannya, orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardu Jumaat hendaklah bersegera pergi ke masjid dan janganlah melengah-lengahkannya seperti melakukan jual beli terutama apabila azan kedua sembahyang fardu Jumaat. Sungguhpun jual beli itu sah namun perbuatan sedemikian adalah dilarang, malah mereka yang tidak diwajibkan sembahyang fardu Jumaat pun berdosa apabila dia bermuamalat bersama mereka yang diwajibkan sembahyang fardu Jumaat.