(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Menurut Kamus Dewan, bertepuk tangan bermaksud satu perbuatan mengadakan bunyi dengan menamparkan kedua-dua telapak tangan.
Ia biasanya dilakukan atas sebab-sebab tertentu antaranya kerana kagum, gembira, suka hati, tanda setuju, tanda penghormatan dan sebagainya.
Seimbas pandang, perbuatan bertepuk tangan mungkin dianggap satu tabiat biasa dan perbuatan semula jadi manusia sahaja.
Akan tetapi, pada hakikatnya, bertepuk tangan ada hukum-hakamnya yang tersendiri, di mana menurut syara‘ adakalanya ia dibolehkan dan adakalanya pula ia dilarang.
Bahkan ada ketikanya pula bertepuk tangan itu diharamkan.

BERTEPUK TANGAN YANG DIBOLEHKAN
1. Dalam Perkara Ibadat
(i) Peringatan kepada kesilapan imam dalam sembahyang
Sunat atas perempuan untuk menepuk tangan dalam sembahyang untuk memberi peringatan kepada imam yang terlupa atau melakukan kesilapan dalam sembahyang.
Perbuatan ini, yang dikenali dengan istilah tashfiq, dituntut dan dinilai sunat bagi perempuan sahaja walaupun pada ketika itu mereka hanya mendirikan sembahyang sesama jemaah perempuan sahaja.
Adapun sebab ia dinilai sunat adalah kerana bertepuk tangan dalam perkara ini merupakan satu taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Bertepuk tangan (tashfiq) ini hanya boleh dilakukan dengan cara-cara berikut:
(a) Menepukkan tapak tangan kanan ke belakang tangan kiri.
(b) Menepukkan belakang tangan kanan ke tapak tangan kiri.
(c) Menepukkan belakang tangan kanan ke belakang tangan kiri.
(d) Menepukkan belakang tangan kiri ke tapak tangan kanan.
(e) Menepukkan tapak tangan kiri ke belakang tangan kanan.
(f) Menepukkan belakang tangan kiri ke belakang tangan kanan.
Perbuatan ini, jika dilakukan kerana tuntutan syara‘ serta ada keperluan yang membolehkannya, maka ia tidak membatalkan sembahyang walaupun dilakukan dengan banyak serta berturut-turut sepertimana pendapat yang terpilih dalam kitab Nihayah al-Muhtaj dan Mughni al-Muhtaj.
Ini kerana menurut ulama, perbuatan tersebut dinilai sebagai perbuatan yang khafif (ringan) sahaja. Ia juga tidak membatalkan sembahyang walaupun ia dilakukan oleh lelaki.
Adapun bagi lelaki pula, jika imam terlupa atau melakukan kesilapan dalam sembahyang, mereka tidak disunatkan melakukan tashfiq.
Akan tetapi mereka disunatkan mengucapkan tasbih dengan meniatkan bacaan tasbih itu sebagai membaca zikir dan tujuan memberi ingat.
(ii) Peringatan terhadap perkara yang dibolehkan dalam sembahyang
Orang yang sedang mendirikan sembahyang diharuskan untuk memberi peringatan terhadap sesuatu perkara yang dibolehkan syara‘.
Contohnya, sebagai isyarat memberi keizinan masuk terhadap orang yang meminta izin atau sebagai amaran terhadap seseorang daripada berlaku ke atasnya suatu musibah atau bahaya.
Kaifiat memberi peringatan ini berbeza di antara lelaki dengan perempuan. Bagi perempuan, disunatkan untuk menepuk tangan dengan cara yang disebutkan sebelum ini.
Adapun bagi lelaki pula, mereka disunatkan mengucapkan tasbih sepertimana halnya dalam perkara mengingatkan imam yang terlupa atau melakukan kesilapan dalam sembahyang.