(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Sambungan minggu lepas
Hukum memberi peringatan ini pula tertakluk kepada hukum asal perkara yang diingatkan atau diisyaratkan itu sendiri. Contohnya seperti berikut:
a) Ia boleh menjadi harus jika peringatan itu berupa perkara yang harus umpamanya memberi izin terhadap seseorang untuk masuk ke rumah, ke bilik atau sebagainya.
b) Ia juga boleh dihukumkan wajib jika menepuk tangan itu sebagai peringatan terhadap perkara yang wajib seperti memberi peringatan atau amaran kepada orang buta jika ditakuti akan berlaku bahaya ke atasnya.
c) Ia juga boleh menjadi haram jika menepuk tangan itu sebagai peringatan terhadap perkara yang haram seperti memberi isyarat kepada seseorang untuk membunuh seseorang yang lain tanpa hak atau mencuri barang orang lain.
d) Ia boleh menjadi makruh jika menepuk tangan itu sebagai peringatan terhadap perkara yang makruh seperti memberi isyarat kepada seseorang untuk melihat kepada sesuatu yang makruh dilihat.

Khusus dalam hal-hal peringatan yang wajib, sekiranya peringatan, isyarat atau amaran dengan bertepuk tangan atau tasbih itu tidak berhasil, wajib dia memberikan peringatan dengan apa jua cara sekalipun walaupun terpaksa melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan sembahyang seperti berteriak atau melakukan pergerakan yang membatalkan sembahyang. Walau bagaimanapun, sembahyangnya tetap dianggap batal walaupun perbuatan yang dilakukannya itu hukumnya wajib.
Dalam kedua-dua hal di atas, sama ada sebagai peringatan kepada imam atau sebagai peringatan atas perkara-perkara yang dibolehkan, sekiranya lelaki yang menepuk tangan atau perempuan yang mengucap tasbih, harus hukumnya dan tidak batal sembahyang.
Bagaimanapun, yang demikian itu, walaupun tidak makruh, ia dinilai berlawanan dengan sunnah.
1. DI LUAR PERKARA IBADAT
Memberi tepukan sebagai salah satu corak penghormatan, penghargaan, pujian dan sebagainya terhadap seseorang atau apa sahaja yang dipersembahkan dalam satu majlis contohnya, adalah satu perbuatan yang dibolehkan dan tidak ditegah syara‘.
Ini kerana ia merupakan satu cara melahirkan rasa kagum atau penghargaan. Ini dengan syarat tepukan tersebut diberikan dalam perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan dan bukannya dalam perkara-perkara yang mengandungi kemungkaran atau perbuatan haram.
BERTEPUK TANGAN YANG TIDAK DIBOLEHKAN
1. Dalam Perkara Ibadat
(i) Menjadikan bertepuk tangan sebagai satu amalan atau bentuk ibadat.
Dalam perkara ibadat, bertepuk tangan hanya dibolehkan dalam ibadat sembahyang bagi perempuan atas tujuan taqarrub untuk memberi peringatan kepada imam. Ia juga diharuskan dalam sembahyang bagi tujuan memberi peringatan lain yang diharuskan oleh syara‘.
Adapun perbuatan bertepuk tangan selain tujuan di atas, jika dilakukan sebagai satu amalan atau bentuk ibadat, hukumnya adalah haram kerana ia menyerupai kaum musyrikin.
Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam surah al-Anfaal ayat 35 yang tafsirnya:
Dan tiadalah sembahyang mereka di sekitar Baitullah itu melainkan hanyalah siulan dan tepukan tangan. Oleh itu rasakanlah azab disebabkan kekufuran kamu itu. (Surah al-Anfaal: 35)
Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma berkata bahawa kaum Quraish Jahiliyyah melakukan tawaf di Baitullah dalam keadaan bertepuk tangan, bersiul dan tidak berbaju. Menurut sangkaan mereka, perbuatan mereka itu adalah satu ibadah.
(ii) Menepuk kedua telapak tangan dalam sembahyang
Menepuk tangan dalam sembahyang hanya dibolehkan dengan enam cara yang telah disebutkan sebelum ini. Adapun menepuk kedua telapak tangan, iaitu menepuk tapak tangan kanan ke tapak tangan kiri atau sebaliknya, haram dilakukan dalam sembahyang kerana ia dianggap bermain-main. Jika dilakukan juga dengan senghaja sedangkan orang itu tahu akan keharamannya, maka batal sembahyangnya.
(iii) Menepukkan tangan dalam sembahyang tanpa apa-apa tujuan atau dengan tujuan bermain-main
Menepukkan tangan tanpa apa-apa tujuan atau dengan tujuan bermain-main dalam sembahyang juga ditegah, walaupun tepukan itu dilakukan dengan cara-cara yang dibolehkan. Jika dilakukan dengan senghaja sedangkan orang itu tahu akan keharamannya, maka batal sembahyangnya. Ini sama hukumnya sama ada ia dilakukan oleh lelaki atau perempuan.
2. DI LUAR PERKARA IBADAT
(i) Bertepuk tangan untuk bermain-main tanpa apa-apa hajat dan keperluan sehingga leka dan lalai.
Hal ini dinilai makruh oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah dan dinilai haram oleh beberapa ulama lain, antaranya Imam ar-Ramli Rahimahullah.
(ii) Haram jika dilakukan oleh lelaki dengan tujuan menyerupai perempuan.
(iii) Bertepuk tangan sebagai pujian serta penghargaan terhadap satu perbuatan maksiat atau sebagai saranan supaya membuat perkara yang haram.
(iv) Bertepuk tangan di masjid
Perbuatan bertepuk tangan di masjid adalah satu perbuatan yang ditegah dalam syara‘ sekalipun kerana hendak memberi penghargaan kepada penceramah dan seumpamanya.
Ini kerana masjid merupakan tempat yang suci yang perlu dipelihara daripada apa jua bentuk gangguan, sehinggakan berdoa dan berzikir dengan suara nyaring dalam masjid pun adakalanya dihukumkan makruh malah boleh membawa kepada haram jika boleh mengganggu orang yang berada dalam masjid.
Bertepuk tangan dalam masjid tidak syak lagi merupakan satu perbuatan yang mendatangkan gangguan sekiranya dilakukan dalam masjid dan boleh menjejaskan kehormatan masjid yang sepatutnya berkeadaan hening, bukannya hingar bingar dan tidak berlaku di dalamnya perkara-perkara keduniaan serta perkara-perkara melekakan.
Sekiranya seseorang menepukkan antara kedua telapak tangannya dalam masjid tanpa apa-apa hajat dan keperluan, maka hukumnya adalah haram sepertimana pendapat yang dinukilkan oleh Imam asy-Syibramalissi Rahimahullah.
Demikian penjelasan mengenai hukum bertepuk tangan. Mudah-mudahan penjelasan ini akan meningkatkan lagi ilmu dan kefahaman kita mengenai hukum-hakam syari‘at Islam khususnya mengenai hukum bertepuk tangan.
Khusus mengenai perbuatan bertepuk tangan apabila melihat suatu yang disukai dan dikagumi, walaupun ia diharuskan, adalah lebih elok untuk mengucapkan tasbih atau takbir kerana ini lebih menepati akhlak Islam.
Ini kerana adalah lebih wajar kekaguman itu diungkapkan dengan puji-pujian dan zikir terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Selain dapat mengungkapkan penghargaan sesama manusia, kita juga mendapat pahala berzikir memuji keagungan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.