Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hukum makan dan minum berdiri

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Makan dan minum merupakan salah satu keperluan terpenting dalam kelangsungan hidup seorang manusia.

    Manusia memerlukan makan dan minum untuk terus hidup dan beroleh kekuatan bagi menjalankan pelbagai tuntutan serta rutin-rutin seharian seperti mengerjakan ibadah, melaksanakan tugas dan sebagainya. Memandangkan pentingnya makan dan minum dalam kehidupan manusia, berbagai hukum dan adab telah disyariatkan ke atas umat Islam untuk menjadi panduan mereka khusus mengenai perkara tersebut. Salah satu adab yang sabit dalam hukum syara‘ ialah larangan makan dan minum berdiri.

    Persoalan makan dan minum berdiri merupakan satu persoalan yang ada kalanya menimbulkan perbahasan. Ini kerana hadits mengenai perkara tersebut seakan terdapat percanggahan. Dalam beberapa riwayat disebutkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegahnya. Sedangkan dalam beberapa riwayat yang lain diriwayatkan bahawasanya Baginda sendiri, serta beberapa sahabat lain pernah melakukannya.

    Gambar Canva

    HADITS YANG MENEGAH MAKAN DAN MINUM BERDIRI

    Antara hadits yang menegah daripada makan dan minum berdiri ialah hadits yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik dan Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhuma, mereka berkata yang maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menegah daripada minum berdiri.

    (Hadits riwayat Muslim)
    Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu pula meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya: Janganlah seseorang daripada kamu minum dalam keadaan berdiri. Maka barangsiapa (melakukannya kerana) terlupa, maka hendaklah dia memuntahkannya.

    (Hadits riwayat Muslim)
    Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, anjuran memuntahkan minuman yang diminum dalam keadaan berdiri ini hukumnya adalah sunat semata-mata dan tidak berdosa jika tidak dilakukan. Menurut beliau lagi, hadits di atas dengan jelas menganjurkan untuk memuntahkan minuman yang diminum dalam keadaan berdiri kerana terlupa, maka orang yang minum berdiri secara sengaja adalah lebih dituntut untuk memuntahkannya.

    HADITS YANG MEMBOLEHKAN MAKAN DAN MINUM BERDIRI

    Antara hadits yang membawa maksud makan dan minum berdiri itu dibolehkan ialah hadits yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata yang maksudnya: Aku telah memberi minum Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam air zam-zam, lalu Baginda minum dalam keadaan berdiri.

    (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
    Dalam sebuah hadits lagi, diriwayatkan bahawa pada suatu hari Sayyidina ‘Ali Radhiallahu ‘anhu telah minum berdiri. Apabila beliau menyedari seolah-olah orang ramai kurang senang melihat perbuatannya, beliau pun berkata yang maksudnya: Sesungguhnya orang ramai tidak suka minum dalam keadaan berdiri. Sedangkan aku sendiri telah menyaksikan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan apa yang telah kamu lihat aku lakukan (minum berdiri).

    (Hadits riwayat al-Bukhari)
    Ibn ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma pula berkata yang maksudnya: Sesungguhnya pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kami makan dalam keadaan berjalan dan kami minum dalam keadaan berdiri.

    (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
    Selain itu, terdapat juga riwayat-riwayat lain yang menyebutkan bahawa sebahagian sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam makan dan minum dalam keadaan berdiri, antaranya Sayyidina ‘Umar, Sayyidina ‘Uthman dan ‘Abdullah ibn az-Zubair Radhiallahu ‘anhum. Perkara ini ada diriwayatkan oleh Imam Malik Rahimahullah dalam al-Muwattha’.

    Apabila dilihat kedua-dua riwayat ini, sama ada riwayat yang menegah daripada makan dan minum berdiri atau riwayat yang mengharuskannya, ternyata kedua-duanya merupakan riwayat yang shahih bahkan ia turut diriwayatkan dalam kitab Shahihain, iaitu Shahih Imam al-Bukhari dan Shahih Imam Muslim. Maka dalam perkara seumpama ini, perlu dirujuk perkataan dan pendapat ulama yang muktabar dan menjauhi tafsiran dan takwilan sendiri.

    Satu perkara yang perlu diingat, walaupun dalam hadits-hadits di atas kebanyakannya menyebut perbuatan minum sahaja, akan tetapi menurut ulama, jika minum ditegah dalam keadaan berdiri, maka makan dalam keadaan berdiri adalah lebih buruk dan besar kesalahannya. Ini berdasarkan riwayat di mana seorang sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, iaitu Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu telah ditanya oleh Qatadah bin Di‘amah Rahimahullah adakah larangan ini khusus bagi minum sahaja ataupun ia merangkumi makan dan minum. Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu menjawab: (Makan dalam keadaan berdiri) itu adalah lebih buruk.

    PENDAPAT ULAMA MENGENAI PERBEZAAN RIWAYAT DALAM PERKARA MAKAN DAN MINUM BERDIRI

    Perbezaan antara riwayat yang menegah daripada makan dan minum berdiri dengan riwayat yang mengharuskannya mengakibatkan timbulnya beberapa perbezaan di kalangan ulama mengenai permasalahan ini.

    Ada yang berpegang kepada hadits yang mengharuskan makan dan minum berdiri sahaja dan mengabaikan hadits yang menegahnya kerana menurut pendapat mereka hadits yang mengharuskan makan dan minum berdiri lebih shahih dan lebih kuat daripada hadits yang menegahnya. Ada pula yang berpendapat bahawa hadits yang mengharuskan makan dan minum berdiri dimansukhkan oleh hadits yang menegahnya. Bahkan ada pula yang berpendapat sebaliknya, iaitu hadits yang menegahnya dimansukhkan oleh hadits yang mengharuskannya. Sementara itu, ada juga golongan ulama yang berusaha menggabungkan kedua-dua riwayat tersebut dengan takwilan-takwilan tertentu.

    Walau bagaimanapun, menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah, pendapat yang paling baik untuk dipegang dan diikuti serta yang lebih selamat dan jauh dari sebarang perbalahan dan pertentangan ialah pendapat Imam al-Khaththabi, Imam ath-Thabari, Imam Ibn Baththal, Imam an-Nawawi dan lain-lain yang menggabungkan kedua riwayat ini dengan takwilan bahawa tegahan daripada makan dan minum berdiri dalam hadits tersebut bukan atas dasar tahrim (haram), bahkan ia ditegah atas dasar irsyad dan didikan adab.

    Adapun makan dan minum dalam keadaan duduk itu adalah lebih afdhal dan merupakan sunnah. Manakala makan dan minum dalam keadaan berdiri pula dinilai makruh tanzih dan lebih baik dielakkan jika mampu.

    Ini jelas dalam riwayat-riwayat berkenaan bahawa walaupun Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada makan dan minum berdiri dalam beberapa buah riwayat, akan tetapi dalam riwayat yang lain, Baginda sendiri ada melakukannya. Ini menunjukkan bahawa ia bukanlah sesuatu yang haram, bahkan lebih menjurus kepada bimbingan adab dan membentuk ke arah yang lebih baik, iaitu anjuran supaya makan dan minum dalam keadaan duduk.

    Satu perkara yang perlu diingat di sini, walaupun terdapat riwayat yang menyebutkan bahawa Baginda pernah makan dan minum berdiri, akan tetapi yang demikian itu bukanlah kebiasaan Baginda. Baginda hanya makan dan minum berdiri sekiranya keadaan tidak memudahkan Baginda untuk duduk seperti kerana sesak dan seumpamanya bagi menunjukkan bahawa ia tidak haram. Selain itu, Baginda akan makan dan minum dalam keadaan duduk sebagaimana yang disarankan sendiri oleh Baginda.

    Imam an-Nawawi Rahimahullah ketika membincangkan hadits-hadits ini telah berkata: Tidak ada dalam hadits ini, alhamdulillahi Ta‘ala, sebarang masalah dan tidak pula ia dhaif.

    Bahkan semuanya adalah hadits-hadits shahih belaka. Pendapat yang tepat ialah bahawa tegahan tersebut adalah dalam bentuk makruh tanzih semata-mata.

    Manakala riwayat Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam minum dalam keadaan berdiri itu adalah bagi menerangkan keharusannya. Jadi tidak ada apa-apa masalah dan tidak ada apa-apa percanggahan dalam riwayat-riwayat tersebut.

    KENAPA MAKAN DAN MINUM BERDIRI TIDAK DIGALAKKAN?

    Pensyariatan suatu hukum dalam agama Islam pastinya mempunyai hikmah dan rahsia yang tersendiri. Termasuk juga dalam perkara larangan makan dan minum berdiri ini.

    Perkara ini sudah pun menjadi bahan kajian dan perbincangan ulama dari zaman salaf lagi.

    Sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini bahawa pendapat yang paling baik untuk dipegang adalah dengan menilai larangan tersebut sebagai larangan makruh tanzih.

    Ini bermaksud jika dilakukan hukumnya makruh dan tidak mendatangkan dosa.

    Bagaimanapun, adalah lebih baik meninggalkannya, iaitu dengan makan dan minum dalam keadaan duduk kerana ia lebih sempurna dan lebih afdhal.

    Bersambung

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda