Friday, November 22, 2024
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hukum makan dan minum berdiri

    Sambungan dari minggu lepas

    Selain dianjurkan untuk meninggalkan makan dan minum berdiri kerana perbuatan tersebut dinilai sebagai makruh tanzih dan berlawanan dengan yang lebih afdhal, ia juga perlu dielakkan bagi menjauhi kemudharatan kerana makan dan minum berdiri itu mempunyai banyak keburukan dan membawa penyakit. Perkara ini ada disebutkan oleh ulama-ulama besar seawal zaman tabi‘in lagi, antaranya Imam Ibrahim an-Nakha‘i dan Imam ‘Amir asy-Sya‘bi.

    Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah juga ada menukilkan bahawa tegahan ini ada dasarnya dari sudut kesihatan iaitu bagi mengelakkan berlakunya mudharat. Ini kerana makan dan minum berdiri boleh menyebabkan seseorang itu tercekik dan ia juga boleh menyebabkan kesakitan di bahagian perut serta kerongkong. Kerana itulah Islam menganjurkan supaya makan dan minum duduk kerana ia merupakan cara yang lebih baik dan lebih sihat.

    Perubatan moden turut menyokong kenyataan ulama-ulama muktabar Islam ini di mana kajian telah mengenal pasti beberapa mudharat yang boleh terhasil akibat makan dan minum berdiri.

    Yusuf al-Haj Ahmad, dalam buku susunannya iaitu Mausu‘ah al-Ii‘jaaz al-‘Ilmi Fi al-Qur’an al-Karim Wa as-Sunnah al-Muthahharah ada menukilkan pendapat dua pakar perubatan ber-agama Islam iaitu Doktor ‘Abdurrazzaq al-Kilani dan Doktor Ibrahim ar-Rawi Rahimahumullah mengenai hikmah larangan makan dan minum berdiri dari sudut kesihatan dan perubatan.

    Beliau menukilkan bahawa Doktor ‘Abdurrazzaq al-Kilani Rahimahullah telah berkata dalam bukunya al-Haqa’iq ath-Thibbiyyah Fi al-Islam: Adapun makan dan minum dalam keadaan duduk adalah lebih sihat, lebih selamat, lebih tenang dan lebih memuaskan. Ini kerana dalam keadaan duduk, seluruh anggota badan serta perut seseorang berada dalam keadaan tenang dan tetap. Maka minuman akan mengalir dari mulutnya hingga ke dinding perut dengan lembut dan tenang.

    Foto Canva

    Sebaliknya, sekiranya seseorang itu minum dalam keadaan berdiri, cecair akan jatuh dari mulutnya hingga ke dasar perut dengan keras lantas akan merempuh lapisan perut.

    Sekiranya perkara ini berlaku berulang kali, lambat laun ia akan menyebabkan perut menjadi longgar dan jatuh sehingga menyebabkannya susah menghadam makanan.

    Doktor Ibrahim ar-Rawi Rahimahullah pula berpendapat bahawa ketika seseorang itu berdiri, dia berada dalam keadaan tegang, di mana pada masa itu sistem imbangan pada pusat saraf sedang berkerja keras mengawal semua otot tubuh untuk melakukan proses pengimbangan dan berdiri tegak. Ini merupakan proses yang sangat rumit dan menyeluruh yang melibatkan semua sistem saraf dan otot secara serentak. Ini menjadikan anggota manusia tidak tenang ketika berdiri sedangkan ketenangan anggota merupakan antara keperluan paling penting ketika makan dan minum. Ketenangan anggota ini boleh didapati ketika duduk, di mana seluruh sistem saraf dan sistem otot berada dalam keadaan tenang dan tidak tegang. Dalam keadaan duduk ini, sistem penghadaman akan lebih bersedia dan lebih mampu menyerap makanan dan minuman dengan cara yang betul.

    Beliau juga menegaskan bahawa kebiasaan makan dan minum berdiri secara kerap dan berterusan dianggap satu perbuatan yang boleh mendatangkan bahaya kepada dinding perut dan ia boleh menyebabkan luka atau ulser pada bahagian tersebut. Para doktor mendapati bahawa luka atau ulser di bahagian perut kebanyakannya (95%) berlaku di tempat rempuhan makanan atau minuman yang diambil. Ini bertepatan sekali dengan hasil kajian Doktor ‘Abdurrazzaq al-Kilani Rahimahullah yang mendapati bahawa makanan dan minuman akan jatuh dari mulut hingga ke dasar perut dengan keras lalu akan merempuh lapisan perut sekiranya seseorang itu makan atau minum berdiri.

    Maka jelaslah kepada kita bahawa larangan Baginda ini bukan satu larangan yang sia-sia. Bahkan ia merupakan satu panduan ke arah kemaslahatan. Ini tidak syak lagi merupakan satu bukti kukuh bahawa Islam bukan sahaja mementingkan urusan akhirat semata-mata, bahkan ia juga turut membimbing manusia sehingga ke urusan yang boleh dianggap kecil oleh sebilangan orang seperti urusan makan dan minum.

    Demikian penjelasan mengenai hukum makan dan minum berdiri. Dari penjelasan ini, tidak dapat diragui lagi bahawa Islam satu-satunya agama sempurna yang sentiasa membimbing umatnya ke arah kesejahteraan dunia dan akhirat. Tidak ada agama selain Islam yang membimbing umatnya dari segenap aspek rohani dan jasmani dan mengganggap keduanya sama penting dan saling berkait rapat antara satu dengan yang lain.

    Setiap pensyariatan sesuatu hukum, jika dikaji dan diperhati, akan menyingkap berbagai hikmah dan rahsia yang tidak lain merupakan petunjuk Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hambaNya. Umat Islam yang taat mengikut dan mengamalkan syari‘at Islam sebagai cara hidup akan sentiasa hidup sejahtera.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda