(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Pensyariatan memberi dan menjawab salam merupakan keistimewaan khusus bagi umat Nabi Muhammad.
Ia bukan sekadar ucapan kosong seperti ucapan “selamat pagi”, “hai” dan sebagainya, bahkan ia disyariatkan sebagai satu bentuk ibadah yang mendatangkan ganjaran pahala dan mempunyai hukum hakamnya yang tersendiri.
Dalam syariat Islam, menyebarkan salam merupakan salah satu daripada hak sesama saudara Islam.
Mengucapkan salam bukan sahaja mendatangkan pahala, bahkan ia juga merupakan salah satu wasilah terbaik bagi mengeratkan lagi rasa ukhuwah serta ikatan tali persaudaraan sesama saudara Islam, dan merupakan antara cara paling berkesan untuk melahirkan rasa mahabbah dan kasih sayang.
Walaupun ucapan salam itu sangat pendek dan mudah, tetapi maksud yang terkandung di dalamnya sangat tinggi nilainya kerana ia merupakan ucapan doa bagi mendapatkan kesejahteraan dan keselamatan.
Hukum memberi dan menjawab salam sesama saudara Islam
Ulama bersepakat bahawa pada dasarnya, hukum memberi salam sesama saudara Islam adalah sunat mu‘akkadah, iaitu sunat yang sangat dituntut.
Memberi salam sesama Islam tidak hanya dikhususkan kepada orang-orang yang dikenali sahaja, bahkan ia juga digalakkan kepada orang-orang yang tidak dikenali. Ini jelas sepertimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amr r.a. yang maksudnya:
“Bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah: “Apakah (amalan ajaran) Islam yang paling baik?” Baginda bersabda: “Engkau memberi makan dan memberi salam kepada orang yang engkau kenali dan yang engkau tidak kenali”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berbeza pula halnya dengan hukum menjawab salam. Adapun hukum menjawab salam itu adalah wajib. Ini berdasarkan firman Allah dalam Surah an-Nisa‘ ayat 86 yang tafsirnya:
“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah ia (dengan cara yang sama).
Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.” (Surah an-Nisa‘: 86)


Hukum memberi dan menjawab salam ahli Bid‘ah, orang yang dengan terang-terangan melakukan kefasiqan dan pembuat dosa sesar yang belum bertaubat
Menurut pendapat yang paling shahih sepertimana yang disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullah, tidak disunatkan untuk memberi dan menjawab salam ahli bid‘ah, orang yang dengan terang-terangan melakukan kefasiqan dan pembuat dosa besar yang belum bertaubat, bahkan disunatkan untuk tidak memberi salam kepada mereka.
Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata: “Ini adalah mazhab ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallahu ‘anhuma dan Imam al-Bukhari Rahimahullah pengarang kitab Shahih (al-Bukhari)”.
Jika terpaksa juga memberi salam kepada mereka kerana khuatir akan ditimpa kesusahan jika tidak membuat demikian, sama ada kesusahan pada urusan agama mahupun urusan dunia, misalnya tidak memberi salam ke atasnya itu boleh menjejaskan harta pencarian atau punca rezekinya, maka dalam hal ini tidaklah mengapa memberi salam kepada mereka.
Akan tetapi, hendaklah dia meniatkan ketika memberi salam itu bahawa perkataan (as-Salaam) itu adalah salah satu daripada nama-nama Allah sahaja, dan bukannya bermaksud untuk mendoakan kesejahteraannya dan bukannya dengan niat memberi salam.
Hukum memberi dan menjawab salam orang bukan Islam
Menurut ulama mazhab asy-Syafi‘e, haram memulakan memberi salam kepada orang yang bukan berugama Islam. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah telah bersabda yang maksudnya:
“Janganlah kamu terlebih dahulu memberi salam kepada orang-orang Yahudi dan Nasrani.
Apabila kamu bertemu dengan salah seorang daripada mereka di jalan, maka kamu mintalah agar dia menyiring”. (Hadis riwayat Muslim)
Jika orang bukan Islam memberi salam kepada orang Islam pula, maka orang Islam itu menjawab salamnya dengan mengucapkan “wa‘alaikum” dan yang seumpamanya sahaja.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a., bahawasanya Rasulullah telah bersabda yang maksudnya:
“Apabila Ahli Kitab memberi salam kepada kamu, maka kamu jawablah dengan: “Wa‘alaikum”.”(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata bahawa berdasarkan hadis di atas, hukum menjawab salam yang diucapkan oleh orang bukan Islam itu ialah wajib, akan tetapi hendaklah dengan mengucapkan “wa‘alaikum” atau “‘alaikum” dan yang seumpamanya sahaja dan tidak lebih daripada itu.
Hukum memberi salam kepada satu kumpulan yang bercampur di dalamnya orang berugama Islam dan orang bukan berugama Islam.
Sekiranya dalam satu kumpulan atau majlis itu bercampur di dalamnya orang-orang Islam dan orang-orang bukan Islam, maka menurut ulama harus memberi salam kepada kumpulan tersebut dengan niat untuk memberi salam kepada orang-orang Islam sahaja dan wajib mengecualikan salamnya itu daripada orang-orang kafir yang berada dalam kumpulan tersebut dalam hati.
Dalam hal ini, harus memberi salam kepada kumpulan tersebut walaupun dalam kumpulan tersebut orang Islam hanya seorang sahaja dan selebihnya adalah orang-orang kafir.
Dasar bagi hukum ini ialah perbuatan Rasulullah sendiri sebagaimana yang diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid r.a., beliau berkata yang maksudnya:
“Sesungguhnya Rasulullah menunggang seekor keldai yang dipasangkan di atasnya pelana yang diletakkan di bawahnya kain baldu.
Dan ikut bersama-sama di belakang Baginda (ialah) Usamah bin Zaid dan Baginda (dalam perjalanan) menziarahi Sa‘ad bin ‘Ubadah di tempat tinggal Kabilah Bani al-Harits bin al-Khazraj, dan hal itu berlaku sebelum peperangan Badar, sehinggalah Baginda melintasi satu kelompok yang di dalamnya bercampur antara orang Islam dan kaum musyrikin (yang terdiri daripada) penyembah-penyembah berhala dan orang-orang Yahudi…
Maka Rasulullah telah memberi salam ke atas mereka lalu Baginda berhenti. Kemudian Baginda turun dari tunggangannya dan menyeru mereka ke jalan Allah dan membacakan kepada mereka ayat-ayat al-Qur‘an…”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Secara ringkasnya, ucapan salam merupakan sejenis ucapan berbentuk ibadah yang hanya dikhususkan bagi orang-orang Islam sahaja. Orang Islam diharamkan sama sekali untuk memulakan memberi salam kepada orang kafir.
Jika orang kafir pula yang memulakan memberi salam, maka memadai dijawab dengan “wa‘alaikum”, “wa‘alaika” dan yang seumpamanya sahaja.
Adapun jika terdapat percampuran dalam satu kumpulan antara orang-orang Islam dan orang-orang bukan Islam, maka harus memberi salam kepada kumpulan itu dengan niat untuk memberi atau menujukan salam tersebut kepada orang-orang Islam yang berada dalam kumpulan itu.