Saturday, April 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hukum mengagihkan zakat kepada keluarga sendiri

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Zakat harta wajib dikeluarkan apabila mencukupi syarat-syarat wajib zakat. Ia wajib dilaksanakan dengan segera apabila harta tersebut sudah sedia untuk diagihkan iaitu ada harta yang dikeluarkan dan ada asnaf yang berhak menerima bahagian zakat.

    Jika ia dilambat-lambatkan untuk dikeluarkan hukumnya adalah berdosa, melainkan jika kelambatan itu kerana menanti orang yang lebih afdhal menerima agihan zakat tersebut.

    Orang yang mengeluarkan zakat harta hendaklah dia menyerahkan zakatnya itu sendiri kepada orang yang berhak menerima zakat. Harus juga baginya berwakil kepada seseorang untuk menyerahkan zakatnya itu. Walau bagaimanapun, adalah lebih afdhal baginya menyerahkan zakatnya itu kepada pemerintah umpamanya institusi zakat atau baitulmal yang mengendalikan zakat untuk diagih-agihkan kepada orang yang berhak menerima zakat berbanding dia menyerahkannya sendiri atau berwakil kepada seseorang. Ini kerana pemerintah itu lebih tahu siapa yang berhak menerima zakat dan boleh menyerahkannya secara menyeluruh serta zakat itu selamat diagih-agihkan dengan penuh yakin.

    Dalam perkara mengagih-agihkan zakat ini, bolehkah jika orang yang mengeluarkan zakat itu mengagih-agihkan zakatnya sendiri kepada ahli keluar-ganya yang berstatus fakir dan miskin seperti isteri, suami, anak, ibubapa, adik beradik dan sebagainya?

    Sehubungan dengan persoalan ini, perlu diketahui bahawa antara syarat-syarat penerima agihan zakat dari asnaf fakir dan miskin itu ialah dia bukan terdiri daripada orang yang diberi nafkah wajib, sama ada atas nama kerabat ataupun suami.

    Ini bererti orang yang mengeluarkan zakat itu tidak harus mengagihkan zakatnya kepada orang yang wajib dinafkahinya walaupun berstatus fakir dan miskin. Ini kerana mereka itu telah pun mendapat nafkah yang diberi oleh kerabat tersebut.

    Lebih afdhal seseorang itu menyerahkan zakatnya itu kepada pemerintah umpamanya institusi zakat atau baitulmal yang mengendalikan zakat untuk diagih-agihkan kepada orang yang berhak menerima zakat.

    Siapakah yang dimaksudkan dengan orang yang diberi nafkah wajib oleh kerabat atau suami itu?

    Orang yang diberi nafkah wajib oleh kerabat itu ialah seperti berikut:

    1) Ibu bapa hingga ke atas

    Ibu bapa yang berstatus fakir dan miskin tidak harus menerima agihan zakat fakir dan miskin daripada zakat anaknya sendiri. Demikian juga nenek yang berstatus fakir dan miskin tidak harus menerima agihan zakat daripada cucunya sendiri. Ini kerana ibu bapa dan nenek tersebut mendapat nafkah wajib daripada anak dan cucu mereka.

    2) Anak hingga ke bawah

    Anak yang berstatus fakir dan miskin tidak harus menerima agihan zakat fakir dan miskin daripada zakat bapanya sendiri. Demikian juga cucu yang berstatus fakir dan miskin tidak harus menerima agihan zakat tersebut daripada neneknya sendiri. Ini kerana anak dan cucu tersebut mendapat nafkah wajib daripada bapa dan nenek mereka.

    3) Isteri

    Isteri yang berstatus fakir dan miskin tidak harus menerima agihan zakat fakir dan miskin daripada zakat suaminya sendiri. Ini kerana isteri tersebut mendapat nafkah wajib daripada suaminya.

    Menerima agihan zakat fakir dan miskin daripada kerabat yang tidak wajib memberi nafkah

    Adapun orang yang menerima nafkah daripada kerabat yang tidak wajib memberinya nafkah adalah harus dia menerima agihan zakat fakir dan miskin daripada kerabatnya yang tidak wajib memberinya nafkah itu seperti adik beradik dan bapa saudara.

    Adik perempuan yang berstatus fakir dan miskin yang menerima nafkah daripada abangnya adalah harus dia menerima agihan zakat fakir dan miskin daripada zakat abangnya sendiri.

    Demikian juga anak saudara yang berstatus fakir dan miskin yang menerima nafkah daripada bapa saudaranya adalah harus dia menerima agihan zakat fakir dan miskin daripada zakat bapa saudaranya sendiri.

    Ini kerana nafkah yang diberi oleh abang dan bapa saudara itu adalah berupa nafkah yang tidak wajib, dalam makna yang lain abang dan bapa saudara tidak wajib memberi mereka nafkah.

    Isteri mengagihkan zakatnya kepada suami yang berstatus fakir dan miskin

    Sunat bagi isteri mengagihkan zakatnya sendiri kepada suaminya yang berstatus fakir dan miskin. Hal ini disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Zainab isteri kepada ‘Abdullah bin Mas‘ud r.a.:

    Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu‘alaihi wasallam bersabda: “Bersedekahlah kamu wahai kaum wanita walaupun dari perhiasan kamu.”

    Zainab berkata: “Aku kembali kepada ‘Abdullah (suami Zainab), lalu aku berkata: “Engkau adalah seorang lelaki yang tidak mempunyai banyak harta, sedangkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memerintahkan kami supaya bersedekah. Oleh itu pergilah engkau menghadap Baginda dan tanyakanlah (kepada Baginda) adakah memadai aku bersedekah kepadamu. Sekiranya tidak, aku akan memberikannya pula kepada orang lain.”

    Zainab berkata: “‘Abdullah berkata kepadaku: “Engkau sahajalah yang pergi menghadap Baginda!” Zainab berkata: Lalu aku pun pergi. Ternyata di hadapan pintu rumah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sudah ada seorang wanita dari golongan Ansar yang sama tujuannya denganku.”

    Zainab berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dianugerahkan kemuliaan (kami segan untuk menghadap Baginda).” Zainab berkata: “Lalu Bilal keluar menemui kami. Kami pun berkata kepadanya: “Menghadaplah kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan sampaikan kepada Baginda bahawa ada dua orang wanita di hadapan pintu yang ingin bertanya, adakah memadai sedekah mereka berdua diberikan kepada suami mereka berdua dan kepada anak-anak yatim yang berada dalam tanggungan mereka berdua? Dan janganlah beritahu siapa kami.”

    Zainab berkata: “Bilal masuk menghadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanyakan hal itu. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya kepada Bilal: “Siapakah mereka berdua itu? Bilal menjawab: “Seorang wanita dari golongan Ansar dan Zainab.” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Zainab yang mana satu?” Bilal menjawab: “Isteri ‘Abdullah.”

    Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadanya (Bilal): “Mereka berdua mendapat dua ganjaran iaitu ganjaran kerana kaum kerabat dan ganjaran kerana sedekah (zakat).” (Hadis riwayat Muslim)

    Hadis ini menunjukkan bahawa isteri boleh mengagihkan zakatnya sendiri kepada suaminya, jika suami berkenaan adalah dari asnaf zakat. Malahan isteri tersebut mendapat dua ganjaran pahala iaitu ganjaran kerana membantu kerabat dan ganjaran kerana mengeluarkan zakat.

    Mengagihkan zakat selain bahagian zakat fakir dan miskin kepada kerabat yang wajib dinafkahi dan isteri

    Selain bahagian zakat fakir dan miskin, adalah harus zakat itu diagihkan kepada kerabat yang berstatus amil, orang yang berhutang (gharimin), pejuang pada jalan Allah, muallaf dan ibnu sabil. Sekalipun mereka adalah daripada kerabat yang wajib ditanggung nafkahnya.

    Kerabat yang berstatus muallaf, mereka harus menerima agihan zakat tersebut daripada kerabat yang wajib menafkahinya. Akan tetapi jika kerabat yang muallaf itu berstatus fakir, maka tidak harus baginya menerima agihan zakat muallaf daripada kerabat yang wajib menafkahinya.

    Sementara kerabat yang berstatus ibnu sabil, mereka harus menerima agihan zakat asnaf ibnu sabil itu daripada kerabat yang wajib menafkahinya setakat kadar yang perlu untuk menampung kos pelayaran sahaja. Mereka tidak berhak menerima bahagian zakat ibnu sabil sepenuhnya bagi menampung keperluan-keperluan yang lain seperti makan, minum dan seumpamanya ke-rana perkara tersebut sudah termasuk dalam nafkah yang wajib ditanggung oleh pengeluar zakat.

    Selain itu, seorang suami harus mengagihkan zakatnya daripada bahagian zakat orang yang berhutang dan muallaf kepada isterinya, jika isterinya itu berstatus orang yang berhutang atau muallaf.

    Sekiranya isteri tersebut berstatus ibnu sabil, keharusan menerima agihan zakat daripada suaminya adalah tertakluk kepada keadaan berikut:

    i) Isteri yang belayar bersama suaminya dengan mendapat keizinan suami. Tidak harus menerima bahagian zakat ibnu sabil kerana nafkah ditanggung oleh suaminya.

    ii) Isteri yang belayar bersama suaminya tetapi dengan tidak menda-pat keizinan suami seperti isteri berdegil juga untuk pergi bersama suami. Tidak harus menerima bahagian zakat ibnu sabil kerana isteri melakukan dosa.

    iii) Isteri yang belayar seorang diri dengan tidak mendapat keizinan suami. Tidak harus menerima bahagian zakat ibnu sabil kerana isteri melakukan dosa.

    iv) Isteri yang belayar seorang diri dengan mendapat keizinan suami, dan nafkah wajib diberikan kepada isteri seperti isteri belayar kerana keperluan suami, maka isteri harus menerima bahagian zakat ibnu sabil iaitu kadar yang menampung kos pelayaran sahaja. Tetapi tidak berhak menerima bahagian zakat ibnu sabil sepenuhnya bagi menampung keperluan-keperluan yang lain seperti makan dan minum kerana perkara tersebut sudah termasuk dalam nafkah yang wajib ditanggung oleh suami.

    v) Isteri yang belayar seorang diri dengan mendapat keizinan suami, dan nafkah tidak wajib diberikan kepada isteri seperti isteri belayar kerana keperluannya sendiri, maka isteri harus menerima bahagian zakat ibnu sabil segala kos pelayaran termasuk keperluan-keperluan yang lain seperti makan dan minum.

    vi) Isteri yang belayar tidak mendapat keizinan suami tetapi dia ingin berpatah balik daripada belayar untuk mematuhi suaminya, maka isteri harus menerima bahagian zakat ibnu sabil untuk perbelanjaannya pulang.

    Demikianlah beberapa penjelasan mengenai hukum mengagihkan bahagian-bahagian zakat kepada keluarga sendiri.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda