(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Ibadat aqiqah merupakan sunnah Rasulullah SAW. Afdhalnya ibadat aqiqah ini dilakukan pada hari ketujuh setelah kelahiran.
Tuntutan melakukan aqiqah pada hari ketujuh selepas kelahiran itu adalah berdasarkan sebuah hadis daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya yang bermaksud:
“Rasulullah SAW mengaqiqahkan Hasan dan Husain pada hari ketujuh, memberikan kedua-duanya nama dan Baginda menyuruh supaya menghilangkan rambut kepala keduanya (mencukurnya).” (Hadis riwayat al-Hakim)
Pengertian Aqiqah
Aqiqah daripada segi bahasa pada asalnya ialah nama bagi rambut yang terdapat di kepala anak damit ketika dia dilahirkan. Manakala dari segi istilah syarak ialah binatang yang disembelih ketika mencukur rambut anak yang dilahirkan.
Hukum Aqiqah
Hukum melakukan aqiqah adalah sunat mu’akkadah iaitu sunat yang sangat digalakkan. Ia tidak diwajibkan, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang maksudnya:
“Allah tidak menyukai kedurhakaan, seolah-olah Baginda tidak suka menyebut nama itu (aqiqah). Baginda bersabda: “Barang siapa yang dikurniakan baginya anak, lalu dia ingin menyembelih untuk anaknya itu, maka sembelihlah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing.” (Hadis riwayat Abu Daud, An-Nasa’i dan Ahmad)

Perkataan (ingin menyembelih untuk anaknya) dalam hadis di atas itu menunjukkan tidak wajib melakukan aqiqah kerana ibadah aqiqah yang dituntut untuk dilaksanakan itu disandarkan kepada keinginan. Melainkan jika aqiqah itu dinazarkan baharulah aqiqah itu wajib dilaksanakan.
Hikmah Pensyariatan Aqiqah
Antara hikmah pensyariatan aqiqah ialah bagi menzahirkan perasaan riang gembira, perasaan syukur atas nikmat dikurniakan zuriat dan berkembang biak nasab keturunan melalui anak yang dilahirkan. Di samping itu dapat mengeratkan tali silaturahim di kalangan ahli keluarga, sahabat handai dan orang-orang fakir dan miskin melalui daging aqiqah yang dimasak dan diagihkan atau melalui jamuan yang diadakan.
Ada sesetengah ibu-bapa yang ingin melakukan ibadah aqiqah untuk anak mereka yang keguguran. Adakah perkara ini dibolehkan atau sebaliknya? Bagaimanakah pula kedudukan aqiqah bagi anak tidak sah taraf? Maka pada keluaran kali ini akan dijelaskan permasalahan-permasalahan ini.
Hukum Aqiqah Anak Keguguran
Dari segi syarak aqiqah ialah binatang yang disembelih ketika mencukur rambut anak yang dilahirkan, maka jika aqiqah itu dilakukan sebelum kelahiran anak, tidaklah ia memadai sebagai aqiqah. Akan tetapi ia hanyalah dikira sebagai binatang sembelihan biasa sahaja. Ini kerana ibadat aqiqah dituntut untuk dilakukan setelah kelahiran anak sebagai penzahiran perasaan gembira dan syukur atas nikmat dikurniakan zuriat. Ini menunjukkan ibadat aqiqah ini sunat dilakukan selepas kelahiran anak.
Dalam perkara melakukan aqiqah untuk anak keguguran ini, Ibnu Hajar Rahimahullahu Ta‘ala sebagaimana yang dipetik oleh pengarang kitab Bughyah al-Mustarsyidin berkata:
“Tidak disunatkan melakukan aqiqah seperti juga memberikan nama kepada anak yang keguguran melainkan jika telah ditiupkan padanya roh, kerana jika sesiapa yang tidak (sempat) ditiupkan padanya roh, maka tidaklah dibangkitkan dan tidak memberi manfaat dengan (aqiqah itu) di akhirat kelak.”
Berdasarkan pendapat Ibnu Hajar Rahimahullahu Ta‘ala yang disebutkan di atas, bahawa jika ingin melakukan aqiqah untuk anak yang keguguran itu perlulah dilihat dahulu sama ada anak itu sudah ditiupkan padanya roh ataupun belum. Jika sudah ditiupkan padanya roh iaitu apabila janin dalam kandungan yang keguguran itu telah mencapai usia empat bulan atau seratus dua puluh hari, maka bolehlah dibuatkan aqiqah untuknya, akan tetapi jika belum ditiupkan roh iaitu kurang daripada usia empat bulan maka tidaklah disunatkan melakukan aqiqah untuknya.
Bagi anak damit yang telah sempurna dilahirkan tetapi meninggal dunia sebelum atau selepas hari ketujuh daripada kelahirannya pula, jika kedua ibu bapanya berkemampuan untuk mengaqiqahkannya, maka sunat diaqiqahkan anak tersebut.
Maka dari penjelasan di atas bahawa tidaklah salah jika kedua ibu bapa anak yang keguguran itu ingin melakukan aqiqah untuk anaknya yang keguguran yang sudah ditiupkan roh itu bahkan hukumnya adalah sunat.
Hukum Aqiqah Anak Tidak Sah Taraf
Orang yang disunatkan melakukan aqiqah untuk anak yang dilahirkan itu ialah orang yang wajib menanggung nafkah anak tersebut. Bagi anak yang sah taraf maka bapanyalah yang dituntut untuk mengaqiqahkan anak tersebut kerana dialah orang yang berkewajipan menanggung nafkahnya. Walau bagaimanapun, dibolehkan orang lain melakukan aqiqah anak itu jika bapanya tidak berkemampuan tetapi dengan syarat ada izin daripada bapanya atau walinya.
Apabila anak itu sudah baligh dan dia belum diaqiqahkan, maka sunat bagi anak itu untuk beraqiqah bagi dirinya sendiri. Namun berbeza halnya melakukan aqiqah bagi anak yang tidak sah taraf iaitu anak yang terhasil daripada perbuatan zina (anak luar nikah). Orang yang wajib menanggung nafkah anak itu adalah ibu yang melahirkannya.
Jadi, sunat bagi ibu kepada anak luar nikah itu melaksanakan aqiqah untuk anak tersebut. Akan tetapi hendaklah dengan cara bersembunyi atau tidak terang-terangan kerana ditakuti akan terbuka keaiban atau boleh menambah aib dan malu.
Sebagai kesimpulan melakukan ibadat aqiqah itu walaupun untuk anak yang keguguran adalah disunatkan tetapi apabila sudah ditiupkan padanya roh.
Begitu juga anak yang tidak sah taraf, adalah sunat ke atas ibu anak itu melakukan aqiqah untuk anak tersebut kerana ibu anak itulah yang menanggung nafkah bagi anak itu. Namun hendaklah dengan cara bersembunyi-sembunyi, bukan berterang-terangan, lebih-lebih lagi bukan secara bermajlis supaya rahsia keaibaannya tidak diketahui orang atau tidak menambahkan keaibannya.
Maka dengan melakukan ibadat aqiqah setentunya kita akan dikurniakan pahala di samping dapat menambahkan ketakwaan dengan mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala kerana melakukan aqiqah itu adalah perkara yang sangat-sangat dituntut dan antara sunnah-sunnah Rasullullah SAW yang sayugia kita amalkan.
Baginda sendiri telahpun mengaqiqahkan kedua cucunda Baginda Saidina Hasan dan Saidina Husain pada hari ketujuh kelahiran mereka sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis Baginda.