(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
SIRI 1
DALAM masyarakat kita, amalan menziarahi kubur akan nampak lebih jelas pada bulan Ramadan dan awal-awal bulan Syawal; sama ada menziarahi kubur ibu bapa atau lain-lain sanak saudara. Bahkan setengah keluarga mengkerapkan ziarah kubur ibu bapa mereka pada setiap hari Juma‘at.
Amalan ziarah kubur ini perlu dikekalkan kerana ia sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam. Kerana di samping menghidupkan hubungan antara orang yang hidup dengan orang yang telah mati, terdapat lain-lain manfaat atau tujuan yang boleh diperolehi dari amalan menziarahi kubur itu seperti yang disarankan oleh Islam, antaranya ialah:
1: Supaya dikasihi oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, dengan sebab kita mengikuti Sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam.
2: Untuk mengingati asal-usul kejadian kita manusia, iaitu dari tanah dan kembali semula kepada tanah.
3: Menginsafi diri tentang hari kematian, alam kubur (barzakh) dan Hari Kiamat, dengan menghisab diri sama ada akan menuju ke syurga atau ke neraka.
4: Mengambil iktibar atau pengajaran dari apa yang telah berlaku, untuk melembutkan kekerasan hati dan menggamit kesedihan yang membawa kepada kesedaran.
5: Mengingat kembali terhadap orang-orang yang berjasa dan orang-orang yang berjihad kerana menegakkan kalimah Tauhid.
6: Mendidik diri agar bersifat zuhud, iaitu tidak rakus dan tidak tamak akan harta benda dunia seperti dalam hadits riwayat daripada Ibnu Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya, “(Pada mulanya) aku telah melarang kamu menziarahi kubur, (kini) kamu ziarahilah kubur, kerana sesungguhnya menziarahi kubur itu boleh menzuhudkan kehidupan di dunia dan mengingatkan akhirat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Berlaku ihsan kepada penghuni kubur dan menggembirakan mereka dengan memberi salam, berdoa dan memohon keampunan untuk mereka.
Hukum ziarah kubur
Para ulama sepakat mengatakan bahawa sunat bagi lelaki menziarahi kubur orang-orang Islam, terutama sekali menziarahi kubur kedua ibu bapa. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya, “(Pada suatu ketika) Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam ziarah ke kubur ibunya, lalu Baginda menangis, maka menangis pulalah orang sekelilingnya. Kemudian Baginda bersabda: “Aku memohon keizinan kepada Tuhanku untuk aku memintakan ampun bagi ibuku, tetapi permohonanku tidak diperkenankanNya. (Kemudian) aku memohon keizinan untuk menziarahi kuburnya, maka diperkenankanNya bagiku, kerana itu pergilah kamu menziarahi kubur, kerana hal itu akan mengingatkan kamu kepada kematian.” (Hadis riwayat al-Jama‘ah)
Berdasarkan hadis yang tersebut di atas, menunjukkan bahawa menziarahi kubur itu hukumnya adalah sunat, iaitu sunat bagi lelaki sahaja, tidak bagi perempuan.
Sebagaimana disunatkan menziarahi kaum keluarga terdekat terutama ibu bapa dan saudara mara pada masa hayat mereka, maka disunatkan juga menziarahi tatkala mereka sudah meninggal dunia dengan menziarahi kubur mereka.
Sungguhpun demikian, bukanlah bermakna menziarahi kubur orang Islam yang lain (yang bukan keluarga terdekat) itu tidak disunatkan, malahan ia juga disunatkan dengan tujuan mengingatkan kepada kematian, memohon rahmat untuknya dan sebagainya.
Walau bagaimanapun tidak disunatkan musafir (belayar) hanya kerana untuk menziarahi kubur kecuali untuk menziarahi makam Rasulullah Sallallahu ‘alahi Wasallam.
Hukum ziarah kubur bagi perempuan
Menurut pendapat jumhur ulama hukum ziarah kubur bagi perempuan adalah makruh; kerana sifat mereka yang tidak sabar, cepat tersentuh perasaan, dan ditakuti akan menimbulkan perasaan dukacita yang bersangatan sehingga menyebabkan dia menangis, meraung atau meratapi kubur si mati.
Sungguhpun demikian, terdapat dalil yang menunjukkan bahawa hukum bagi perempuan menziarahi kubur adalah tidak haram, iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu. Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam berjalan melintasi seorang perempuan yang sedang menangis di kubur anaknya, lalu Baginda Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya, “Bertaqwalah anda kepada Allah dan bersabarlah.” (Hadis muttafaq ‘alaih)
Dapatlah difahami dari hadis yang telah disebutkan tadi, bahawa menziarahi kubur bagi perempuan itu tidak dilarang. Ini kerana jika perbuatan tersebut dihukumkan haram, nescaya Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam menegur ataupun melarang perempuan tersebut daripada menziarahi kubur.
Satu lagi riwayat ialah ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha juga pernah menziarahi kubur. Dia bertanya kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam: “Apakah yang patut aku baca kepada mereka, (iaitu ketika melawat perkuburan)?” Jawab Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam.
Maksudnya, “Katakanlah: “Mudah-mudahan Allah limpahkan keselamatan ke atas ahli kubur daripada mukminin dan muslimin dan semoga Allah merahmati orang-orang terdahulu dari kalangan kami dan orang-orang yang terkemudian, dan sesungguhnya sekiranya kami diizinkan oleh Allah kami akan bertemu dengan kamu.” (Hadis riwayat Muslim)
Secara ringkas, hukum menziarahi kubur bagi perempuan itu bergantung kepada tujuannya. Jika tujuannya ialah untuk mengambil iktibar, untuk mengingatkan kepada kematian, alam barzakh dan alam akhirat, di samping dia dapat menjaga adab kesopanan dirinya, dapat menahan dirinya dari kesedihan yang bersangatan, serta aman dari segala fitnah; baik dari segi persekitaran mahupun masa berziarah, maka dalam hal ini, hukumnya adalah makruh bagi perempuan tersebut menziarahi kubur.
Manakala menurut setengah ulama, jika tujuannya adalah untuk menimbulkan semula perasaan dukacita dan untuk meratapi si mati, maka adalah haram baginya menziarahi kubur. Begitu juga jika sekiranya perempuan tersebut tidak menjaga adab kesopanannya semasa berziarah, tidak aman dari segala fitnah atau seumpamanya, maka haram baginya menziarahi kubur.
Oleh sebab itu, di antara adab-adab yang perlu dijaga oleh perempuan yang menziarahi kubur itu ialah:
1: Hendaklah dia ditemani oleh suaminya ataupun mahramnya.
2: Keluar dalam keadaan menutup aurat sepenuhnya sepertimana yang telah digariskan oleh Islam.
3: Jangan selalu pergi berziarah ke kubur.
4: Tidak berbual dengan percakapan kosong sebagaimana yang dilarang ke atas kaum lelaki, kerana Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda dalam hadits yang diriwayatkan oleh Buraidah Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya, “(Dahulu) aku telah melarang kamu menziarahi kubur, maka (sekarang), siapa yang ingin menziarahi kubur, berziarahlah, dan janganlah kamu bercakap-cakap dengan perkataan yang batil.” (Hadis riwayat an-Nasa’ie)
Berbeza menziarahi kubur Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, hukumnya adalah sunat bagi perempuan dan lelaki. Daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya, “Barangsiapa menziarahi kuburku, wajiblah baginya mendapat syafa‘atku.” (Hadis riwayat ad-Daraquthni)
Menurut sebahagian ulama, sunat juga menziarahi kubur para nabi, para ulama dan aulia.
Bersambung minggu depan…