Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Menghadap kiblat merupakan salah satu daripada syarat sah sembahyang. Jika seseorang tidak menghadap kiblat ketika mengerjakan sembahyang maka sembahyangnya tidak sah melainkan semasa dalam ketakutan seperti dalam peperangan sama ada sembahyang fardhu atau pun sunat, dan sembahyang sunat ketika dalam pelayaran yang bukan maksiat yang susah baginya untuk menghadap kiblat.
Tuntutan menghadap kiblat tsabit dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:
Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk bersembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram (Ka‘bah).
(Surah al-Baqarah: 150)
Kewajipan menghadap kiblat itu juga tsabit dalam hadits sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata yang maksudnya:
Ketika Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam masuk ke Baitullah (Ka‘bah), Baginda berdoa di setiap sudut Ka‘bah. Baginda tidak mengerjakan sembahyang sehinggalah Baginda keluar daripadanya. Ketika Baginda keluar, Baginda mengerjakan sembahyang dua rakaat di hadapan Ka‘bah. Lalu Baginda bersabda: Inilah kiblat. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Oleh itu, mereka yang ingin mengerjakan sembahyang hendaklah memastikan dadanya iaitu keseluruhan lebar badannya menghadap ke kiblat. Jika sebahagian daripada lebar badannya terkeluar daripada menghadap kiblat maka tidak sah sembahyangnya.
Dalam perkara menghadap kiblat ini, bagaimana pula kedudukan hukum bagi orang yang sembahyang terpaling dari arah kiblat disebabkan lupa atau dipaksa?
HUKUM SEMBAHYANG APABILA TERPALING DARI ARAH KIBLAT
Untuk menjelaskan kedudukan hukum sembahyang apabila terpaling dari arah kiblat ini dilihat pada tiga keadaan berikut:
1. Berpaling dari arah kiblat dengan sengaja
Jika seseorang yang mengerjakan sembahyang fardhu ataupun sunat itu senghaja memalingkan sebahagian dadanya dari arah kiblat maka batal sembahyangnya.
2. Berpaling dari arah kiblat disebabkan lupa
Jika seseorang yang mengerjakan sembahyang fardhu ataupun sunat itu memalingkan sebahagian dadanya dari arah kiblat disebabkan lupa, maka sembahyangnya sah apabila dia kembali menghadapkan dadanya semula ke kiblat dalam kadar yang segera. Akan tetapi jika dia kembali menghadap ke kiblat dalam jangka masa yang lama maka batal sembahyangnya sebagaimana menurut pendapat yang ashah.
Perkara ini sama kedudukannya dengan hukum orang yang berkata-kata ketika sembahyang disebabkan lupa.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata yang maksudnya:
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mendirikan sembahyang Zuhur atau Asar bersama kami lalu Baginda memberi salam. Dzu al-Yadain pun bertanya kepada Baginda: “Ya Rasulullah! Adakah sembahyang dipendekkan?” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya kepada para sahabatnya: “Adakah benar apa yang dikatakannya?” Mereka menjawab: “Ya!” Lalu Baginda mendirikan sembahyang dua rakaat lagi kemudian melakukan dua kali sujud (sujud sahwi).
(Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits ini menjelaskan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tertinggal dua rakaat sembahyang kerana lupa dan Baginda berkata-kata sedikit bertanyakan perkara yang lupa itu kepada sahabat lalu menyambung sembahyang dengan menambah dua rakaat yang tertinggal itu. Ini menunjukkan bahawa sembahyang sah dengan berkata-kata sedikit kerana lupa. Walau bagaimanapun jika berkata-kata banyak kerana lupa maka batal sembahyang.
3. Berpaling dari arah kiblat disebabkan paksaan orang lain
Jika seseorang yang mengerjakan sembahyang fardhu ataupun sunat itu memalingkan sebahagian dadanya dari arah kiblat disebabkan paksaan orang lain maka batal sembahyangnya apabila dia kembali menghadap ke kiblat dalam jangka masa yang lama.
Demikian juga menurut pendapat yang muktamad, batal sembahyangnya walaupun dia kembali menghadap ke kiblat dalam kadar yang segera kerana ia jarang berlaku.
Perlu diingat, perkara ini boleh berlaku ketika seseorang menyusup masuk di tengah-tengah saf di antara dua orang yang sedang sembahyang lalu menyebabkan orang yang sedang sembahyang itu terpaling dari arah kiblat, nescaya sembahyang orang tersebut batal walaupun dia kembali menghadap ke kiblat dalam kadar yang segera.
Perkara ini sama kedudukannya dengan hukum orang yang berkata-kata ketika sembahyang disebabkan paksaan orang lain. Orang yang berkata-kata ketika sembahyang disebabkan paksaan sama ada berkata-kata sedikit ataupun banyak adalah membatalkan sembahyang.
Demikian penjelasan mengenai hukum sembahyang apabila terpaling dari arah kiblat sama ada disebabkan sengaja, paksa ataupun lupa.
Perkara ini perlu diketahui dan diambil perhatian bagi mencapai kesempurnaan sembahyang.