Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Pejabat Peguam Negara memaklumkan bahawa Perintah Kanun Hukuman Jenayah (Pindaan), 2021 telah diluluskan pada 4 Rabiulawal 1443 Hijrah bersamaan 11 Oktober 2021.
Pejabat Peguam Negara dalam kenyataan yang dikeluarkan menjelaskan bahawa pindaan berkenaan adalah bagi Penggal XVII Kanun Hukuman Jenayah yang berkaitan dengan kesalahan terhadap harta benda.
Kenyataan menjelaskan bahawa Perintah Kanun Hukuman Jenayah (Pindaan), 2021 adalah salah satu daripada langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia membendung peningkatan kes yang menjejaskan perkhidmatan utama, seperti mencuri kabel.
Dengan seramai 20 pesalah yang telah didakwa atas kesalahan mencuri kabel dari Januari hingga September tahun ini, adalah penting undang-undang mempunyai mekanisme untuk menangani pesalah-pesalah berkenaan dengan mengambil tindakan yang lebih berat dan bagi mencegah orang lain daripada melakukan kesalahan-kesalahan tersebut.
Pindaan berkenaan, menurut Pejabat Peguam Negara, bertujuan untuk mengukuhkan undang-undang berhubung kesalahan yang berkaitan dengan harta benda dengan memperkenalkan kesalahan baharu, memperluaskan kesalahan semasa serta meningkatkan hukuman bagi kesalahan tersebut, terutamanya di mana perbuatan tersebut menyebabkan atau berkemungkinan menyebabkan gangguan terhadap perkhidmatan utama. Perkhidmatan utama bagi tujuan pindaan berkenaan meliputi berbagai-bagai perkhidmatan termasuklah perkhidmatan yang berkaitan secara langsung dengan penyediaan elektrik, penyiaran dan telekomunikasi, dan lain-lain. Pejabat Peguam Negara juga menyatakan bahawa Bab 380B yang baharu itu menangani kesalahan pencurian yang menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan utama, dan Bab 427B baharu menangani kesalahan kerosakan yang menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan utama.
Kedua-dua kesalahan tersebut membawa hukuman minimum tiga tahun penjara dan empat kali sebatan serta hukuman maksimum 10 tahun penjara dan 12 kali sebatan.Pindaan itu juga memperuntukkan hukuman alternatif bagi pesalah yang terkecuali daripada hukuman sebat, seperti wanita dan lelaki yang berumur lebih daripada 50 tahun. Dalam kes sedemikian, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tambahan sehingga 12 bulan, sebagai ganti hukuman sebat.
Sementara itu, kesalahan menerima harta benda curi secara tidak jujur di bawah Bab 411 Kanun Hukuman Jenayah dan kesalahan membantu penyembunyian harta benda yang dicuri di bawah Bab 414 Kanun Hukuman Jenayah telah diperluaskan untuk merangkumi situasi di mana harta benda yang dicuri itu berkaitan dengan perkhidmatan utama atau merupakan bahagian komponen perkhidmatan utama.
Kenyataan selanjutnya menyatakan bahawa, jika kesalahan di bawah Bab 411 atau Bab 414 telah dilakukan yang melibatkan harta benda curi yang berkaitan dengan perkhidmatan utama atau bahagian komponen perkhidmatan utama, pindaan berkenaan memperuntukkan pesalah menghadapi hukuman penjara maksimum yang lebih tinggi selama 10 tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Hukuman penjara yang dikenakan adalah lebih berat daripada kesalahan yang tidak melibatkan harta benda yang berkaitan dengan perkhidmatan utama.
