Hukuman lelaki mencuri, menipu ditambah

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUN – Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan pendakwa raya dalam menambah hukuman terhadap seorang lelaki dengan memetik bahawa hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret adalah tidak mencukupi.

Mac lalu, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas Muhammad Yasriazizi bin Mohd Shahrol Amira yang telah mengaku bersalah terhadap 12 dakwaan mencuri dan satu dakwaan menipu.

Kelmarin, Timbalan Pendakwa Raya Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli yang mewakili pihak pendakwa raya telah membuat rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap hukuman yang dijatuhkan itu dengan menyatakan bahawa ia kurang memadai.

Ketua Hakim Dato Seri Paduka Steven Chong menggantikan hukuman berkenaan kepada dua tahun dan lapan bulan penjara.

“Permulaan bagi hukuman penjara ke atas setiap kesalahan berkenaan sepatutnya 18 bulan dan bukan 16 bulan dengan pengurangan satu pertiga kepada 12 bulan setelah mengaku bersalah,” ketua hakim berkata dalam mengubah hukuman kepada yang sepatutnya diambil oleh Mahkamah Majistret.