Monday, March 17, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hukuman mati 20 bekas pelajar universiti kekal

    DHAKA, 16 MAC – Mahkamah di Bangladesh mengekalkan hukuman mati hari ini ke atas 20 bekas pelajar universiti yang disabitkan kesalahan membunuh rakan pelajar pada 2019 kerana mengkritik bekas kerajaan negara itu di media sosial.

    Abrar Fahad, 21, seorang pelajar di Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Bangladesh (BUET), terbunuh beberapa jam selepas menerbitkan catatan Facebook yang mengkritik kerajaan Sheikh Hasina ketika itu kerana menandatangani perjanjian perkongsian air dengan India.

    Barkat Ullah (kanan), semasa bercakap kepada media selepas keputusan Mahkamah Tinggi, di Dhaka pada 16 Mac. – AFP

    Fahad dipukul selama hampir enam jam dengan kayu kriket oleh sekumpulan 25 pelajar, kesemuanya ahli Liga Chhatra Bangladesh, sayap pelajar parti politik bekas Perdana Menteri, Liga Awami.

    Sayap pelajar parti itu didakwa mencetuskan keganasan di kampus universiti sebelum Hasina digulingkan tahun lalu berikutan pemberontakan yang dipimpin oleh pelajar.

    “Saya berpuas hati. Saya harap prosedur undang-undang akan selesai tidak lama lagi, dan keadilan akan ditegakkan,” kata bapa Fahad, Barkat Ullah kepada pemberita selepas keputusan itu diumumkan oleh mahkamah hari ini.

    “Saya tidak mahu menyalahkan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke universiti terkemuka, tetapi mereka terlibat dalam politik yang tidak baik. Saya akan menggesa orang ramai untuk menjauhi aktiviti berbahaya,” tambahnya.

    Pembunuhan Fahad mengakibatkan bantahan di seluruh negara itu, memaksa Hasina untuk memberi hukuman paling berat kepada pelaku.

    Proses undang-undang yang sewajarnya akan diikuti untuk melaksanakan keputusan itu, kata Peguam Negara Md Asaduzzaman kepada pemberita. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda