DUBAI, 21 OKT – Pihak berkuasa Arab Saudi kelmarin mengumumkan bahawa mereka telah melaksanakan hukuman mati terhadap seorang lelaki yang menurut kumpulan hak asasi manusia dan pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan seorang penunjuk perasaan yang menyertai demonstrasi anti-kerajaan ketika masih bawah umur pada tahun 2011.
“Hukuman mati telah dilaksanakan terhadap Abdullah al-Derazi, seorang warganegara Saudi, di Wilayah Timur,” menurut Agensi Berita Saudi (SPA) dalam kenyataannya kelmarin, sambil menambah dia telah disabitkan atas kesalahan melaku ‘keganasan’.
Pakar-pakar PBB pada April lalu menyeru supaya al-Derazi dibebaskan, dengan menyatakan bahawa penahanannya adalah bersifat sewenang-wenang dan dia hanya menggunakan hak untuk membantah layanan kerajaan terhadap puak minoriti Syiah.
Sejak awal tahun 2025, Arab Saudi telah melaksanakan kira-kira 300 hukuman mati, menurut pengiraan AFP berdasarkan pengumuman rasmi.
Pada tahun 2024, kerajaan Arab Saudi melaksanakan 338 hukuman mati, satu rekod yang dijangka akan diatasi tahun ini.

Menurut pertubuhan hak asasi manusia Amnesty International, Derazi disabitkan bersalah terbabit dalam keganasan bersama lapan orang lain kerana mengambil bahagian dalam protes anti-kerajaan di Wilayah Timur pada tahun 2011.
“Keluarganya mengetahui tentang pelaksanaan hukuman mati itu melalui media sosial,” kata Duaa Dhainy, penyelidik bagi Pertubuhan Eropah-Saudi untuk Hak Asasi Manusia (ESOHR) yang berpangkalan di Berlin.
“Mereka tidak diberi peluang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Abdullah, tidak menerima sebarang panggilan rasmi daripada pihak berkuasa Arab Saudi bagi memaklumkan tentang pelaksanaan hukuman tersebut dan jenazahnya juga tidak diserahkan kepada keluarga,” tambahnya.
Menurut Amnesty, hukuman mati ke atas Derazi disahkan secara rahsia oleh Mahkamah Agung negara itu, bersama hukuman terhadap Jalal al-Labbad, seorang lagi pemuda yang telah dihukum mati pada Ogos lalu.
Arab Saudi, antara negara yang paling banyak melaksanakan hukuman mati di dunia, telah menjatuhkan hukuman mati ke atas 33 individu atas kesalahan berkaitan keganasan tahun ini dan 202 individu atas kesalahan berkaitan dadah. – AFP

