Oleh Fadley Faisal –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Mahkamah Rayuan telah mengurangkan hukuman terhadap seorang pengawal keselamatan yang disabitkan kesalahan pecah rumah, berikutan rayuan terhadap hukuman asal yang dijatuhkan oleh Mahkamah Perantaraan.
Bersidang kelmarin, Mahkamah Rayuan, diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Dato Seri Paduka Steven Chong, bersama Hakim Conrad Seagroatt dan Edward Timothy Starbuck Woolley, menjatuhkan hukuman selepas kes disemak.
Perayu, Muhamad Azizul bin Abdullah, yang diwakili oleh Brandon Chin Wei Chun dan Anlan Hee Tze Khow daripada Tetuan Yusof Halim & Partners (pro bono), telah mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pecah rumah pada bulan Mei.
Hukuman asal iaitu tujuh tahun enam bulan dan tiga sebatan telah dijatuhkan oleh Mahkamah Perantaraan pada 20 Mei.
Pendakwa raya diwakili Timbalan Pendakwa raya Syafina Abdul Hadzid, pada mulanya memohon hukuman asal. Perayu, seorang pengawal keselamatan di Taman Perindustrian Sungai Liang (SPARK), memecah masuk dewan serba guna sebanyak tiga kali secara berasingan pada April.
Dia mencuri lapan pembesar suara, kemudian menjual salah satu daripadanya untuk mendapatkan wang tunai dan dadah. Pembesar suara yang dicuri mempunyai nilai keseluruhan $10,640, dan lima telah ditemui.
Kes itu menjadi tumpuan di-sebabkan dakwaan perayu menyatakan tindakannya didorong oleh keadaan kewangan yang terdesak, khususnya ketidakupayaannya untuk membayar balik dana gaji yang terlebih bayar kepada majikannya.
Peguam belanya menekankan tekanan kewangan mendorongnya melakukan kesalahan itu kerana takut kehilangan pekerjaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mendapati walaupun masalah kewangan perayu merupakan faktor, tindakannya itu adalah bersamaan pecah amanah yang teruk kerana dia ditugaskan untuk menjaga premis itu.
Para hakim mempertimbangkan pengakuan bersalah perayu dan rekod jenayah bersih tetapi mengambil kira keseriusan kesalahannya, termasuk penglibatannya secara langsung dalam penjualan barang curi.
Mahkamah Rayuan menyimpulkan hukuman asal ‘keterlaluan’ dan menyelaraskan semula kese-luruhan hukuman untuk mencerminkan penilaian yang lebih adil terhadap jenayah perayu.
Hukuman baharu itu termasuk permulaan penjara enam tahun dan tiga sebatan, yang kemudiannya dikurangkan kepada empat tahun dan dua sebatan selepas mengambil kira pengakuan bersalahnya.