Hukuman penjara anak curi wang ibu ditambah

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, telah menggantikan hukuman penjara dua tahun dan lapan bulan terhadap seorang wanita tempatan yang mencuri daripada ibunya kepada tiga tahun empat bulan berikutan rayuan pendakwa raya.

Ketua Hakim Dato Paduka Steven Chong bersetuju dengan pendakwa raya bahawa hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret terhadap Nur Sabihah binti Haji Zulfikri yang mengaku bersalah atas 15 tuduhan mencuri dan sembilan tuduhan pengubahan wang haram terlalu rendah.

Ketua hakim menekankan bahawa ia merupakan kes di mana seorang wanita yang jelas salah guna moral kompasnya dan mula mencuri wang simpanan ibunya untuk membiayai gaya hidup mewah.

Pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qamarul Affyian bin Abdul Rahman membuat rayuan supaya hukuman Nur Sabihah disemak semula dengan menyatakan beberapa alasan.

Pada lewat 2019, Nur Sabihah telah dihubungi sepupunya, Hajah Siti Khadizah binti Bujang yang cuba meminjam wang daripadanya tetapi Nur Sabihah mengatakan dia tidak mempunyai wang dan sepupunya itu mencadangkan agar dia meminjam wang daripada ibunya.

Nur Sabihah kemudian membuat rancangan supaya Hajah Siti Khadizah mendapatkan butiran akaun banknya supaya dia dapat mendaftar bagi perbankan dalam talian dan memindahkan wang kepada akaun sepupunya menerusi aplikasi.

Hajah Siti Khadizah meminta pertolongan rakannya yang bekerja di bank untuk mendapatkan butiran akaun ibu saudaranya atas alasan mangsa berada di luar negara dan tidak dapat dihubungi.

Setelah mendapatkan butiran tersebut, Nur Sabihah mendaftarkan perbankan dalam talian bagi akaun ibunya tanpa pengetahuan lalu membuat transaksi dan pemindahan wang seba-nyak 15 kali bermula Oktober 2019 sehingga Mac 2020 berjumlah sehingga $67,800 ke akaun Hajah Siti Khadizah. Termasuk bayaran pemindahan, mangsa kehilangan wang berjumlah $67,960.

Perbuatan kedua-duanya terbongkar apabila mangsa dan suaminya pergi ke sebuah bank pada 7 Mac 2020 untuk membuat transaksi rutin menyimpan wang ke dalam akaunnya dan selepas mengemas kini akaun, kakitangan bank memaklumkan mangsa dan suami bahawa wang mangsa dipindahkan ke sebuah akaun di bank lain sehingga membuatkan mangsa dan suaminya mengesyaki sesuatu.

Pada awalnya mangsa dan suami menyangka ia kesilapan bank, walau bagaimanapun setelah penyiasatan awal, mendapati ia membabitkan anak mereka.

Pada 9 Mac, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sengkurong yang membawa kepada penangkapan kedua-dua tertuduh pada 11 Mac.