YANGON, 7 DIS – Hukuman empat tahun penjara terhadap Presiden Myanmar U Win Myint dan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi dikurangkan kepada dua tahun di bawah Seksyen 401 (1) Kanun Tatacara Jenayah, lapor Xinhua memetik laporan media pada Isnin.
Menurut laporan itu, U Win Myint dan Aung San Suu Kyi akan terus ditahan di lokasi yang dirahsiakan.
Pada pagi Isnin U Win Myint dan Aung San Suu Kyi dijatuhi hukuman penjara empat tahun atas tuduhan menghasut di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan melanggar undang-undang pengurusan bencana alam negara.
Selepas mereka ditahan pada 1 Februari bersama pegawai parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) yang lain, pentadbiran negara Myanmar berpindah kepada Panglima Angkatan Tentera Jeneral Kanan Aung Hlaing selepas darurat diisytiharkan.
Sejak ditahan, Aung San Suu Kyi dituduh melakukan 11 kesalahan, antaranya melanggar Akta Rahsia Rasmi, manakala U Win Myint menghadapi dua pertuduhan menghasut dan melanggar undang-undang pengurusan bencana alam. – Bernama