Hukuman penjara lapan bulan jadi dua tahun

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Hukuman penjara lapan bulan dijatuhkan ke atas lelaki yang disabit bersalah menyerang kakitangan restoran dan melakukan khianat dengan merosakkan kereta-kereta telah ditambah kepada dua tahun.

Mahkamah Tinggi memutuskan penambahan hukuman berkenaan, hari ini, selepas pihak pendakwa dalam rayuannya menyatakan bahawa hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Majistret terhadap Mohammad Izzat bin Haji Said itu terlalu ringan.

Mengikut kertas pendakwaan, kejadian berlaku apabila defendan makan sarapan pagi di kafe salah sebuah hotel pada 8:20 pagi, 22 November 2019.

Selepas menghabiskan makanannya, pengurus kafe datang kepadanya untuk mendapatkan bayaran. Defendan mendakwa bahawa sekumpulan lelaki yang berada di kafe itu akan membayar makanannya.

Pengurus berkenaan bertanya kumpulan berkenaan yang menafikan dakwaan itu dan pergi semula kepada defendan untuk meminta bayaran.

Defendan menjadi marah dan menyerang pengurus kafe berkenaan dan mencemaskan orang ramai yang berada di kafe tersebut.

Defendan meninggalkan kafe itu dan merosakkan tingkap belakang sebuah kereta di luar kafe menggunakan batang besi sebelum masuk ke dalam hotel di mana dia melontar pasu dan memecahkan hiasan kaca dan memecahkan tingkap empat buah lagi kereta di kawasan komersial Kiulap.

Defendan juga pergi ke sebuah restoran di Batu Satu, kira-kira 4 petang, di mana dia memecahkan cawan kaca dengan melontarkan ke lantai.

Ketua Hakim Dato Seri Paduka Steven Chong mempertimbangkan rayuan untuk menggambarkan bahawa sikap agresif, serangan yang ditujukan kepada seorang kakitangan dalam industri perkhidmatan yang hanya menjalankan tugasnya dan kelakuan tidak mematuhi undang-undang di tempat awam adalah tidak digalakkan dan untuk menjamin keyakinan awam sebelum beliau membuat keputusan menambah hukuman terhadap Mohammad Izzat kepada dua tahun penjara.

Timbalan Pendakwa Raya Raihan Nabilah Ahmad Ghazali mewakili pendakwa raya sebagai perayu.

Mohammad Izzat hadir di mahkamah dengan tanpa diwakili sebagai responden.