Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hukuman penjara pesalah dikurangkan

    Oleh Rafidah Jumat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Tempoh hukuman penjara lima lelaki warga Malaysia yang disabitkan kesalahan melakukan penyeludupan manusia dikurangkan oleh Mahkamah Rayuan di sini.

    Panel hakim yang terdiri daripada Michael Peter Burrell, Conrad Seagroatt dan Michael Lunn mengurangkan tempoh penjara terhadap Aminudin bin Zainal Abiddin, 33, dan Mohd Faizal bin Abdullah, 33, kepada empat tahun lapan bulan; Sukri bin Hakim, 59, kepada empat tahun manakala itu, Adizan bin Asri dan Agus Setiawan kepada tiga tahun empat bulan penjara.

    Pengurangan hukuman diberikan panel hakim selepas menyemak semula penglibatan dan peranan setiap pesalah.

    Sebelum ini, kelima-lima pesalah dijatuhi hukuman enam tahun penjara dan tiga sebatan pada September 2018, dan turut dikenakan denda $1,000 atau tambahan satu bulan penjara.

    Ketiga-tiga hakim bagaimanapun mengekalkan hukuman sebat kepada pesalah kecuali Sukri atas faktor usia.

    Hukuman denda kepada semua pesalah dikekalkan bagi mematuhi peruntukan mandatori yang patut dikenakan bagi kesalahan ini.

    Kesemua pesalah adalah sebahagian daripada sindiket yang ditahan ketika cuba menyeludup lima warga Vietnam ke Temburong pada 22 September 2018.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda