HO CHI MINH, 21 APRIL – Taikun hartanah Vietnam yang dipenjarakan seumur hidup dalam kes pengubahan wang haram bernilai AS$17 bilion telah dikurangkan kepada 30 tahun atas rayuannya hari ini selepas dia mendakwa apa yang berlaku sebagai ‘kemalangan’.
Pemaju hartanah, Truong My Lan telah pun dijatuhkan hukuman mati dalam kes berasingan di mana dia didapati bersalah pada April tahun lalu kerana mencuri wang daripada Saigon Commercial Bank (SCB) dan juga terlibat dalam penipuan berjumlah AS$27 bilion.
Mahkamah rayuan memutuskan tiada asas untuk mengurangkan hukumannya, tetapi berkata dia masih boleh terlepas daripada hukuman mati jika memulangkan tiga perempat daripada aset yang dicuri.
Setelah empat bulan kemudian, mahkamah rayuan di Bandar Raya Ho Chi Minh hari ini memutuskan bahawa hukuman penjara seumur hidupnya dikurangkan kepada 30 tahun.
“Lan sememangnya memainkan peranan utama dalam jenayah tersebut (tetapi) kami juga mengambil kira jumlah wang yang telah dibelanjakan Lan untuk mengatasi akibatnya,” kata hakim Pham Cong Muoi selepas perbincangan awal dalam rayuan tentang bagaimana asetnya boleh digunakan untuk membayar pampasan kepada mangsa jenayahnya.
Dalam kata-kata terakhirnya di hadapan mahkamah minggu lalu, Lan menyifatkan apa yang berlaku sebagai ‘kemalangan’.
“Sejak dipenjarakan, saya telah mencuba yang terbaik untuk mencari penyelesaian terbaik untuk (menguruskan) projek dan hartanah saya,” katanya dipetik media kerajaan.
“Tolong akui usaha saya,” tambahnya.
Truong May Lan yang berusia 68 tahun itu didapati bersalah pada Oktober lalu kerana melakukan pengubahan wang haram, pemerdagangan rentas sempadan haram dan penipuan bon.
Berpuluh-puluh ribu orang yang telah melaburkan simpanan mereka di bank kehilangan wang, menyebabkan protes yang jarang berlaku di negara berkenaan. – AFP
