BUENOS AIRES, 22 OKT – Mahkamah Bogota kelmarin membatalkan sabitan terhadap bekas Presiden Colombia, Alvaro Uribe atas pertuduhan mempengaruhi saksi dan penipuan prosiding kehakiman, sekali gus mengetepikan hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan ke atasnya, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Bagaimanapun, pihak pendakwa raya masih boleh mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Agung negara itu.
Dalam perbicaraan awal pada Ogos lalu, Uribe dijatuhi hukuman 12 tahun di bawah tahanan rumah.
Kes itu bermula lebih sedekad lalu apabila Uribe sendiri memfailkan tindakan undang-undang terhadap senator berhaluan kiri, Ivan Cepeda, yang menyiasat dakwaan kaitannya dengan kumpulan separa tentera.
Namun pada 2018, situasi berubah apabila Uribe dituduh menekan bekas tahanan separa tentera supaya memberi keterangan yang boleh membebaskannya.
Proses kehakiman kes itu berulang kali tertangguh dan pertuduhan rasmi hanya dikemukakan terhadapnya pada 2024. – Bernama


