Hukuman setimpal ‘haruan makan anak’

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Mahkamah Rayuan mendapati bahawa pendekatan ketua hakim dalam menjatuhi hukuman adalah mencukupi bagi seorang lelaki yang mencabul dua orang anak perempuannya.

Lelaki berkenaan dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan empat sebatan selepas dia mengaku bersalah terhadap empat dakwaan mencabul seorang anaknya dalam tempoh kira-kira lima tahun ketika berusia 12 dan 17 tahun serta dua dakwaan mencabul seorang lagi anak perempuannya ketika berusia sembilan dan 17 tahun.

Ketua hakim menjatuhkan hukuman itu terhadap lelaki berkenaan pada 17 Julai 2019.
Yang Di-Pertua Mahkamah Rayuan, Hakim Michael Peter Burrell yang bersidang bersama Hakim Conrad Seagroatt dan Hakim Michael Lunn menolak rayuan lelaki berkenaan selepas melihat faktor keburukan kes berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Hafizah Ahmad mewakili pihak pendakwa raya sebagai responden dalam rayuan berkenaan.