Oleh Fadley Faisal –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Mahkamah Majistret hari ini menetapkan Khamis ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap Hajah Faizah binti Haji Abdul Gapar yang mengaku bersalah atas pertuduhan menyebar kenyataan palsu.
Peguam Bela Pengiran Shahyzul Pengiran Abdul Rahman merayu pertimbangan mahkamah dan menggesa denda dikenakan terhadap anak guamnya.
Timbalan Pendakwa Raya Raihan Nabilah Ahmad Ghazali memohon mahkamah mengeluarkan perintah berhubung kos pendakwaan. Hajah Faizah sebelum ini menafikan pertuduhan menyebarkan kenyataan palsu yang mungkin menimbulkan kebimbangan.
Perbicaraan telah berlangsung sehingga defendan diminta untuk membela diri pada Sabtu lalu. Kelmarin, defendan menukar pengakuannya.
Pertuduhan pendakwaan menyatakan bahawa defendan telah membuat kenyataan palsu, dengan membuat rakaman video dengan kapsyen yang kononnya empat pekerja di sebuah restoran, di kawasan kejiranan di mana defendan tinggal di Kampung Mabohai, didapati oleh pegawai polis telah melanggar Perintah Kuarantin dengan hadir bekerja sementara BruHealth mereka memaparkan Kod Merah, berkemungkinan menimbulkan kebimbangan, pada 6:58 petang 31 Ogos 2021.

Pihak pendakwaan seterusnya mendedahkan bahawa pengurus restoran itu sendiri telah membuat laporan polis berhubung kenyataan video
palsu yang telah tular pada hari itu. Siasatan polis mula-mula mengesahkan bahawa mesej itu sememangnya palsu. Kemudian polis mengaitkan video itu kepada tertuduh.
Siasatan terhadap defendan mendapati dia telah menerima mesej daripada ibu saudaranya, menyampaikan kenyataan palsu itu dan memberitahu defendan untuk melaporkannya.
Defendan kemudiannya pergi ke restoran itu, merakamkan gambar pemeriksaan polis yang sedang dijalankan.
Dia kemudian menghantar gambar itu kepada ibu saudaranya, mengatakan setakat ini empat pekerja restoran itu telah didapati bekerja dengan Kod Merah.
Defendan juga mengakui bahawa dia telah menghantar video yang sama dengan kapsyen, kepada rakan penduduk yang lain di kawasan kejiranan itu, bimbang akan keselamatan diri dan jirannya kerana mereka sering ke restoran tersebut.

