Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Hulubalang Asgar Awang Abdul Malik bin Awang Hidup muncul juara dalam acara larian 20km Kategori Terbuka Lelaki Brunei Run 2022 bersempena Hari Jantung Sedunia 2022 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Beliau menamatkan larian dengan catatan masa 1 jam 14 minit 26 saat, dan menewaskan Mohamad Khairul Anuar bin Ramli, yang menamatkan larian sebagai naib juara dengan catatan masa 1 jam 14 minit 55 saat. Tempat ketiga menjadi milik Amirul Hamdi Jamil dengan catatan masa 1 jam 15 minit 19 saat.
Bagi Kategori Perempuan, tempat pertama telah dimenangi oleh Siti Nur Hafizatul Shazana binti Hamiroldzam dengan catatan masa 1 jam 44 minit; tempat kedua dimenangi oleh Nurul Mahirah Miramaid dengan catatan masa 1 jam 46 minit 11 saat; dan Sajidah binti Mohiedin mendapat tempat ketiga dengan catatan masa 1 jam 48 minit 53 saat.
Juara bagi kedua-dua kategori tersebut berjaya membawa pulang wang tunai $500, manakala naib juara memenangi hadiah wang tunai $400 dan tempat ketiga memenangi wang tunai $300.
Acara larian itu diadakan sempena memperingati 20 tahun penubuhan Gleneagles JPMC pada 15 Julai 2002.
Hadir selaku tetamu kehormat dan turut menyampaikan hadiah ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku Pengerusi Lembaga Pengarah, Gleneagles JPMC; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
