Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hulur sumbangan raih pahala berlipat ganda

    Oleh Sim Y.H., Daniel Lim, Yusrin Junaidi Dan Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Dengan bulan Ramadan yang tinggal kurang dari beberapa hari lagi, anak-anak yatim dan golongan yang kurang bernasib baik di negara ini terus mendapat perhatian pelbagai pihak yang berebut meraih ganjaran pahala berlipat ganda pada bulan Ramadan dengan menghulurkan sumbangan pada bulan yang mulia ini.

    Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM) yang dikendalikan oleh Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan, buat julung kalinya telah mengadakan Program Lakastah Berinfaq yang bertemakan, Kami ingau dan peduli, di mana seramai 20 orang penerima menerima infak sedekah secara berdudun ke rumah-rumah penerima, hari ini.

    Penyampaian sumbangan berkenaan disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubarak bin Pengiran Haji Hashim di mana antara penerima infak terdiri daripada orang kurang berkemampuan dan anak-anak yatim.

    Program itu merupakan satu program membantu di jalan Allah demi melahirkan dan memupuk rasa tanggungjawab di kalangan warga JDBM mengenai amalan membantu golongan yang berada dalam kesusahan.

    Ia juga merupakan sebagai tanggungjawab sosial korporat bahagian berkenaan kepada masyarakat yang memerlukan bantuan dan bimbingan.

    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan semasa menyampaikan sumbangan sedekah kepada golongan asnaf dan anak yatim pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Antara anak yatim dan warga emas yang terpilih menerima sumbangan paket raya semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Awang Kamis dan Pengurus Mollah Sdn Bhd hadir semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Pengiran Muhammad Ameer Mubarak menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima infak. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Salah seorang penerima sumbangan berupa barangan keperluan harian dari Syarikat Mollah Sdn Bhd. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Gambar ramai semua penerima bersama pemangku ketua kampung dan ahli MPK Pekan Kuala Belait. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    Selain daripada itu, dengan program itu, diharap dapat mencapai objektif yang sangat bermanfaat terutama dalam memberi pendedahan kepada warga JDBM mengenai bertapa besar dan mulianya bersedekah di jalan Allah.

    Sementara itu, Syarikat Mollah Sdn Bhd Supermarket, seramai 35 orang anak yatim dan 25 asnaf fakir miskin telah menerima sumbangan barangan keperluan harian dalam kalangan penduduk di kawasan Kampung (Kg) Jerudong.

    Majlis tersebut merupakan aktiviti tahunan pada bulan Ramadan yang bertujuan untuk menceriakan anak-anak yatim dan golongan yang memerlukan.

    Hadir bagi sama-sama menyampaikan sumbangan berkenaan ialah Ketua Kg Jerudong B, Awang Kamis bin Panjang dan Pengurus Mollah Sdn Bhd.

    Manakala, di Daerah Belait, sembilan anak yatim yang tinggal di kawasan Pekan Kuala Belait, berkumpul di kediaman Pemangku Ketua Kampung Pekan Kuala Belait B Mohammad Sufrizal bin Haji Hamdan, untuk menerima sumbangan berupa keperluan makanan.

    Majlis tersebut telah dianjurkan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Pekan Kuala Belait bersama pemangku ketua kampung.

    Baru-baru ini, keluarga besar Allahyarham Perdana Wangsa Haji Muhammad dan Allahyarhamah Hajah Maimunah binti Awang Damit telah mengadakan Majlis Tahlil di Masjid Perdana Wangsa Haji Mohammad, Kampung Setia.

    Sejurus menunaikan sembahyang Fardu Asar berjemaah dan bertahlil, majlis kemudiannya diteruskan dengan acara penyampaian sumbangan sedekah kepada 94 orang penerima secara keseluruhannya yang mana terdiri daripada 56 orang golongan asnaf dan empat orang anak yatim dari Kg Lupak Luas, 12 orang anak yatim dari Kg Setia A dan 22 orang anak yatim dari Kg Setia B.

    Dalam pada itu, majlis turut diselajurkan dengan acara penyampaian wakaf berupa mesin fotokopi di masjid tersebut.

    Antara yang hadir bagi menyempurnakan sesi penyampaian sumbangan dan wakaf daripada keluarga Allahyarham Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof bin Pehin Orang Kaya Perdana Wangsa Haji Mohammad dan Allahyarhamah Datin Hajah Aminah binti Haji Abdullah ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof, juga selaku pengerusi majlis.

    Manakala, Hotel Brunei dan Cityneon Brunei menganjurkan majlis serupa kepada 120 orang anak yatim terdiri daripada anak yatim dan warga emas terpilih di Daerah Brunei dan Muara, bersama penjaga masing-masing telah diraikan dengan Majlis Berbuka Puasa di Hotel Brunei di ibu negara, baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Abdul Walid bin Haji Matassan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil diikuti dengan sesi penyampaian paket raya yang disempurnakan oleh tetamu kehormat bersama Pengarah Urusan City Neon Brunei, Dato Jack Ting dan para penyumbang lain.

    Sumbangan-sumbangan yang disampaikan oleh pelbagai pihak itu diharapkan dapat membantu para penerima dalam membuat persediaan menyambut bulan Syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda