Humberto hentam bahamas

MIAMI, 15 SEPT – Ribut Tropika Humberto membadai Bahamas dengan hujan dan angin semalam, menjejaskan usaha bantuan akibat kemusnahan yang dibawa Taufan Dorian tidak sampai dua minggu lalu.

Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) Amerika Syarikat (AS) berkata, pusat ribut itu, yang mengumpul kekuatan angin selaju 95 kilometer sejam, melepasi petang semalam kira-kira 136 kilometer ke utara Pulau Great Abaco, satu daripada kawasan paling teruk terjejas akibat Dorian. Humberto meninggalkan Bahamas dalam laluan yang membawa ia jauh dari pantai timur Florida minggu ini dan awal minggu depan. Ribut itu dijangka berubah kekuatan menjadi taufan hari ini tetapi diramalkan tidak membadai Bahamas atau AS ketika itu.

“Kekuatan ribut itu tidak dijangka membentuk di barat laut Bahamas,” kata NHC yang beribu pejabat di Miami.

Namun ia dijangka menerima hujan lima hingga 10 sentimeter di kebanyakan kawasan, dengan banjir di kawasan rendah, kata Agensi Pengurusan Bencana Bahasam (NEMA).

“Saya tahu ini bukan yang mahu didengari oleh penduduk Abaco dan Grand Bahama, tetapi ia berlaku dan ribut itu akan membawa hujan lebat di kepulauan Bahamas.

Gambar fail pada 11 September 2019 menunjukkan bot-bot yang musnah selepas taufan Dorian melanda Pulau Abaco, Bahamas. Humberto kini membadai Bahamas dengan hujan dan angin kencang, kelmarin. – AFP

“Jadi, bersedialah,” kata pakar kaji cuaca kanan di Grand Bahama, Shavon Bonimy.

Jurucakap NEMA, Carl Smith memberitahu pemberita pada hari Jumaat bahawa taufan itu kemungkinan akan ‘melambatkan logistik’ usaha bantuan, tetapi menambah: “Kami sudah ada perancangan tertentu.

“Bahan api dan air tetap menjadi keperluan terbesar di Abaco,” kata Smith.

Setakat ini, angka kematian akibat taufan raksasa Dorian ialah 52 orang, tetapi pegawai mengatakan jumlah itu mungkin meningkat.

Kira-kira 1,300 orang masih belum dimasukkan di dalam angka bilangan mangsa, tetapi Smith berkata para pegawai sedang berusaha merujuk data baharu dan mencari mangsa yang masih hilang. – AFP